Am 18/10/2026 02:06 PM

Kenaikan Gaji Minimum Bantu Pekerja Tangani Kos Sara Hidup, Buka Ruang Pendapatan Lebih Baik

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kenaikan Gaji Minimum Bantu Pekerja Tangani Kos Sara Hidup, Buka Ruang Pendapatan Lebih Baik
Gambar hiasan

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 dijangka membantu pekerja berpendapatan rendah menangani peningkatan kos sara hidup, manakala pengenalan gaji pokok permulaan RM2,500 bagi graduan dan pekerja separuh mahir membuka ruang kepada struktur pendapatan yang lebih baik.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata kenaikan gaji minimum dan pengenalan kerangka gaji permulaan itu merupakan langkah penting untuk memperkukuh kesejahteraan kewangan pekerja, khususnya golongan muda.

Beliau yang juga pakar perancangan kewangan peribadi berkata pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada pendapatan yang membolehkan rakyat memenuhi keperluan asas, membina simpanan dan merancang masa depan.

“Namun, keberkesanannya perlu dinilai berdasarkan perubahan sebenar dalam kehidupan pekerja, termasuk kemampuan mereka untuk mengurangkan kebergantungan kepada hutang,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Fazli berkata kenaikan gaji minimum sebanyak RM300 atau kira-kira 17.6 peratus boleh membantu pekerja berpendapatan rendah menampung perbelanjaan makanan, pengangkutan dan bil tertunggak.

“Walaupun kelihatan kecil kepada sesetengah pihak, ia boleh memberikan ruang bernafas kepada mereka yang selama ini terpaksa memilih antara beberapa keperluan yang sama penting,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pelaksanaan dasar itu dipantau bagi memastikan kenaikan gaji tidak diimbangi dengan pengurangan elaun atau kemerosotan syarat pekerjaan.

“Kerajaan perlu memperjelas skop dan mekanisme, manakala majikan menyediakan laluan kemajuan gaji yang telus. Institusi pendidikan pula perlu memperkukuh kemahiran pekerjaan serta pendidikan kewangan yang praktikal.

“Bagi saya, ukuran kejayaan dasar ini ialah apabila pekerja mempunyai baki selepas memenuhi keperluan asas, mampu menghadapi kecemasan tanpa berhutang dan semakin yakin terhadap masa depan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) Tan Sri Zainal Rahim Seman menyifatkan pengenalan kadar gaji minimum baharu dan gaji permulaan bagi graduan serta pekerja separuh mahir sebagai langkah penting untuk meningkatkan kebajikan pekerja.

Beliau berkata sektor swasta memerlukan garis panduan gaji yang lebih jelas bagi mengurangkan ketidakseimbangan kadar upah antara negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Kita lihat (gaji) sektor awam telah pun berubah ke satu tahap yang berbeza. Jadi, sektor swasta juga memerlukan satu garis panduan daripada kerajaan untuk menetapkan gaji yang berpatutan.

“Jika tidak, kita akan menghadapi gaji yang tidak seimbang antara satu negeri dengan satu negeri, serta satu pihak berkuasa tempatan dengan pihak berkuasa tempatan yang lain,” katanya.

Bagi golongan bakal memasuki pasaran pekerjaan, pelaksanaan dasar berkenaan dilihat dapat membantu mengurangkan tekanan kewangan ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.

Pelajar tahun akhir Universiti Utara Malaysia Nurul Aisya Syaqila Mazlan, 22, berkata kenaikan gaji minimum dan pengenalan gaji permulaan yang lebih tinggi penting bagi memastikan pekerja, terutama golongan muda, mempunyai pendapatan mencukupi untuk menampung keperluan asas.

“Kenaikan ini amat penting bagi saya kerana kos sara hidup, termasuk harga makanan, pengangkutan dan tempat tinggal, semakin meningkat.

“Bagi golongan muda yang akan memasuki alam pekerjaan, gaji lebih tinggi dapat membantu menampung perbelanjaan asas, mengurangkan tekanan kewangan dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Pada Jumaat, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan dilaporkan berkata pembaharuan kerangka pendapatan pekerja menerusi Belanjawan 2027 mencerminkan hala tuju kerajaan untuk membangunkan tenaga kerja berkemahiran, berpendapatan tinggi dan mendapat perlindungan sewajarnya, selaras dengan aspirasi negara beralih kepada ekonomi bernilai tinggi.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang menyediakan garis panduan gaji berdasarkan kelayakan, kemahiran dan jenis pekerjaan yang disasarkan untuk dilaksanakan mulai Jun 2027, sebelum diperkukuh melalui pindaan perundangan pada masa hadapan.

Katanya, Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan Berdasarkan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) itu akan menyediakan rujukan lebih komprehensif mengenai kadar gaji pokok permulaan mengikut jenis pekerjaan dan tahap kelayakan.

Selain itu, KESUMA sedang memperincikan mekanisme pemantauan pembayaran gaji menerusi modul e-Wages bagi memudahkan pemantauan serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perburuhan.

“Secara keseluruhannya, fokus KESUMA bukan sekadar menetapkan satu angka gaji tetapi membangunkan struktur gaji yang lebih jelas berdasarkan pekerjaan, kelayakan dan kemahiran.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani isu pemampatan gaji, meningkatkan nilai pekerjaan dan menyokong peralihan negara kepada ekonomi bernilai tinggi,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Beliau berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan hasil jualan tahunan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

Anwar turut mengumumkan pengenalan gaji pokok permulaan RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separuh mahir dan graduan sebagai langkah awal pembaharuan kerangka pendapatan pekerja.

-- BERNAMA