Am 18/10/2026 11:57 AM

Kemenangan 3-2 Ke Atas KL City Fc Suntik Semangat Melaka FC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kemenangan 3-2 Ke Atas KL City Fc Suntik Semangat Melaka FC
Ketua Jurulatih Melaka FC, E. Elavarasan.

MELAKA, 18 Okt (Bernama) -- Ketua Jurulatih Melaka FC E. Elavarasan menyifatkan kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super malam tadi sebagai suntikan semangat penting buat para pemain.

Beliau berkata kemenangan di laman sendiri itu amat bermakna kerana pemain berjaya bangkit selepas ketinggalan 0-1, sebelum menyamakan kedudukan dan seterusnya mendahului perlawanan.

“Saya dan para pemain sangat gembira dengan kemenangan ini selepas tewas dalam tiga perlawanan liga sebelum ini... amat penting bagi kami untuk mengutip tiga mata di tempat sendiri.

“Semangat juang pemain untuk terus memberikan saingan meskipun berada dalam tekanan menjadi faktor utama yang membantu pasukan meraih kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini malam tadi.

Pada perlawanan itu, pasukan pelawat membuka tirai jaringan menerusi Fareed Sadat pada minit ke-12 sebelum Melaka FC menyamakan kedudukan menerusi Christian de Souza Andre pada minit ke-41.

Kpah Sean Sherman meletakkan Melaka FC di hadapan 2-1 pada minit ke-53, namun KL City FC kembali mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-76 menerusi jaringan sendiri Muhammad Syahir Ab Rashid, sebelum R. Ruventhiran memastikan kemenangan tuan rumah dengan gol pada minit ke-86.

Elavarasan turut menyifatkan kehadiran pemain yang menyertai pasukan pada saat akhir, termasuk pemain import sebagai perkembangan positif kerana mereka kini mempunyai tempoh latihan lebih panjang untuk memahami corak permainan yang diterapkan.

Beliau berkata pasukan kini perlu memberikan tumpuan kepada aksi menentang Penang FC di tempat lawan, dengan harapan persiapan lebih rapi dapat membantu mereka mengekalkan momentum positif.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC Datuk Dollah Salleh melahirkan kekecewaan terhadap kelemahan pertahanan pasukannya itu yang melakukan kesilapan mudah sehingga memberi peluang kepada Melaka FC menjaringkan gol.

Beliau berkata terdapat kira-kira enam minggu untuk memperbaiki kelemahan pasukannya, khususnya di bahagian pertahanan bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang pada perlawanan akan datang.

Melaka FC melonjak ke kedudukan keenam carta liga selepas mengumpul enam mata manakala KL City FC berada di kedudukan ketujuh dengan jumlah mata yang sama.

-- BERNAMA