Am 18/10/2026 06:48 PM

Pemasangan Jambatan Bailey Di FT008 Dijangka Siap 24 Okt

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pemasangan Jambatan Bailey Di FT008 Dijangka Siap 24 Okt
Gambar Fail. fb JKR Jajahan Machang

GUA MUSANG, 18 Okt (Bernama) -- Pemasangan jambatan Bailey di laluan Persekutuan FT008 Gua Musang-Kota Bharu yang ditutup susulan kejadian lubang benam dijangka siap pada 24 Okt ini, bergantung kepada keadaan cuaca dan kelancaran kerja di tapak, kata Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Badlihisham Nik Ismail.

Beliau berkata pemasangan jambatan dua lorong itu kini mencapai 40 peratus selepas memasuki hari kedua semalam.

“Sepanjang 12.2 meter daripada keseluruhan 42 meter jambatan itu telah dipasang, manakala pembinaan laluan penghubung ke jambatan akan dilaksanakan selepas pemasangan struktur utama selesai.

“Pemasangan jambatan dengan lebar 7.35 meter ini dijangka mengambil masa lima hari, diikuti tiga hari untuk pembinaan laluan penghubung,” katanya kepada Bernama hari ini.

Nik Badlihisham berkata kerja pemasangan jambatan yang dipindahkan dari Machang itu dilaksanakan oleh 34 petugas JKR dan berjalan lancar tanpa sebarang masalah, kecuali hujan pada waktu malam.

Pada 10 Okt lepas, laluan FT008 Gua Musang-Kota Bharu berhampiran Taman Rekreasi Kesedar ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian lubang benam sedalam kira-kira lapan meter.

-- BERNAMA