Am 17/10/2026 10:52 PM

Kebakaran Musnahkan 26 Rumah Kongsi Pekerja Pembinaan Di Labuan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kebakaran Musnahkan 26 Rumah Kongsi Pekerja Pembinaan Di Labuan

LABUAN, 17 Okt (Bernama) -- Sejumlah 26 rumah kongsi yang diperbuat daripada kayu dan menempatkan pekerja pembinaan berhampiran Taman Kian Yap di sini musnah dalam kebakaran malam ini, menjejaskan lebih 50 orang namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Labuan Abdul Rahman Ali berkata insiden itu melibatkan dua blok yang menempatkan 28 rumah dan kira-kira 80 peratus kawasan terjejas akibat kebakaran tersebut.

“Kebakaran itu menjejaskan kawasan seluas kira-kira satu hektar dan berjaya dikawal pada 8.04 malam,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.13 malam sebelum menggerakkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Labuan Sentral dan Rancha-Rancha ke lokasi kejadian.

Kejadian itu adalah kebakaran kedua yang dilaporkan di lokasi sama selepas insiden serupa berlaku beberapa tahun lepas.

Anggota bomba menggunakan beberapa kenderaan dan peralatan pemadaman bagi mengawal kebakaran itu, dengan petugas Sabah Electricity Sdn Bhd turut berada di lokasi.

-- BERNAMA