Am 16/10/2026 03:08 PM

China Setuju Secara Prinsip Cadangan Malaysia Tubuh Majlis TVET Dunia - Ahmad Zahid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
China Setuju Secara Prinsip Cadangan Malaysia Tubuh Majlis TVET Dunia - Ahmad Zahid

Daripada Mohd Yusof Saari

TIANJIN (China), 16 Okt (Bernama) -- China secara prinsip bersetuju dengan cadangan Malaysia bagi menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata persetujuan tersebut, termasuk cadangan agar negara Tembok Besar itu bertindak sebagai tuan rumah tetap, dinyatakan rakan sejawatan beliau Ding Xuexiang dan Menteri Pendidikan Huai Jinpeng dalam pertemuan semalam.

Beliau berkata cadangan penubuhan Majlis TVET Dunia dengan China selaku sekretariat tetap dibuat secara rasmi ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Sedunia 2026 (WVTEDC 2026) di sini pada Jumaat.

"Saya telah mencadangkan semalam, dan hari ini secara rasminya saya telah mencadangkan dalam ucapan saya. Dari segi prinsipnya, Timbalan Perdana Menteri Ding dan juga Menteri Pendidikan China telah bersetuju," katanya pada sidang media selepas persidangan tersebut.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata penubuhan majlis itu penting bagi menyediakan platform global berkekalan untuk memupuk kerjasama dalam pembangunan kemahiran, teknologi dan tenaga kerja, selain yakin majlis itu mampu dilaksanakan berdasarkan pengalaman China menganjurkan persidangan TVET sejak empat tahun lepas.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata menerusi penubuhan majlis itu, China dicadangkan menjadi sekretariat tetap bagi menyelaras usaha perkongsian pengetahuan dan kepakaran dalam ekosistem pendidikan TVET, sekali gus membolehkan negara anggota mendapat manfaat daripada kerjasama berterusan.

Timbalan Perdana Menteri berkata inisiatif tersebut juga berpotensi memperluas kerjasama antara institusi TVET Malaysia dengan China, termasuk menerusi cadangan kerjasama pusat latihan Luban Workshop dari China dengan Malaysia China Institute (MCI) serta pelbagai institusi TVET tempatan.

Ahmad Zahid berkata kerjasama berkenaan dapat membuka ruang kepada pelaksanaan program latihan kemahiran yang menyokong usaha Malaysia melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Beliau berkata penyertaan lebih 100 negara dan kehadiran 48 menteri pada persidangan WVTEDC 2026 itu mencerminkan komitmen antarabangsa terhadap pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran.

“Kita harap usaha memperkukuh ekosistem TVET negara terus mendapat sokongan semua pihak, seiring dengan hasrat melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri dengan Malaysia menjadi sebuah negara berkemahiran tinggi," katanya.

-- BERNAMA