JOHOR BAHRU, 16 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 73 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan menerusi operasi bersepadu di 22 premis perniagaan di sini, pad Rabu.
Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi dari 3 petang hingga 6.30 petang itu, dilaksanakan bersama-sama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dengan menumpukan kepada premis yang disyaki dikendalikan oleh pendatang asing.
Beliau berkata operasi bersepadu itu, membabitkan kedai telefon bimbit yang dipercayai menawarkan perjudian dalam talian dan kegiatan menulis nombor ramalan, selain pusat urut kaki dan badan serta kedai tomyam.
“Pendatang asing yang ditahan terdiri daripada 37 lelaki serta 36 wanita berusia lingkungan 20 hingga 45 tahun dari Myanmar, Indonesia, Thailand, Sudan, Filipina, Pakistan, Bangladesh, China dan Vietnam.
“Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan dihantar ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 40 hingga 50 tahun dipercayai pengurus premis tersebut, turut ditahan.
Beliau berkata lapan Borang 29 iaitu saman kepada saksi juga dikeluarkan sepanjang operasi dilaksanakan.
-- BERNAMA