DUNGUN, 16 Okt (Bernama) -- Pada usia 69 tahun, Tengku Ibrahim Tengku Jaafar masih tekun meneruskan seni pertukangan perahu secara tradisional yang diwarisi sejak lebih lima dekad lepas di Kampung Shukor, Hulu Dungun.
Lelaki itu, yang belajar membuat perahu daripada bapanya ketika berusia 17 tahun berkata kemahiran tersebut tidak hanya menjadi sumber pendapatan, malah warisan keluarga bernilai tinggi yang perlu dipertahankan agar tidak pupus ditelan zaman.
“Walaupun tenaga tidak sekuat dahulu, saya tetap bersemangat menyiapkan perahu ditempah pelanggan bagi meneruskan seni pertukangan ini selagi mampu berbuat demikian,” katanya kepada Bernama di Kampung Shukor di sini hari ini.
Kebanyakan perahu dihasilkan Tengku Ibrahim adalah jenis timba dan diperbuat daripada kayu seperti meranti, seraya, merbau serta nyatuh bagi memastikan ia tahan lasak dan dapat digunakan dalam tempoh lama.
Tengku Ibrahim berkata penghasilan perahu memerlukan ketelitian, kemahiran serta pengetahuan dalam pemilihan bahan bagi memastikan hasil kerja yang berkualiti dan memenuhi kepuasan pelanggan.
“Kebiasaannya pelanggan menempah perahu berukuran panjang lima hingga sembilan meter dengan lebar kira-kira satu meter yang mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk disiapkan kerana saya membuat perahu tanpa pembantu,” katanya.
Tengku Ibrahim berkata harga sebuah perahu antara RM1,200 hingga RM5,000 bergantung pada saiz dan jenis kayu.
Kebanyakan pelanggan lelaki itu terdiri daripada penduduk sekitar daerah ini yang menggunakan perahu untuk memancing, rekreasi atau sebagai persediaan menghadapi musim banjir selain turut menerima tempahan beberapa agensi dan jabatan kerajaan yang difahamkan untuk kegunaan di kawasan pedalaman.
Selain membuat perahu, Tengku Ibrahim juga mengambil upah membaik pulih perahu yang rosak seperti pecah atau bocor bagi memastikan pemilik dapat menggunakan semula perahu itu dengan selamat.
Tengku Ibrahim berkata kesemua 10 anaknya berusia 20 hingga 43 tahun tidak berminat untuk mewarisi kemahiran pembuatan perahu sekali gus meneruskan warisan pertukangan keluarganya.
“Setakat ini, dua penduduk di kampung ini ada mempelajari kemahiran membuat perahu tradisional dengan saya.
“Saya berharap lebih ramai golongan muda berminat untuk mempelajari kemahiran ini supaya warisan pertukangan tradisional ini dapat dipertahankan dan terus diwarisi generasi akan datang,” katanya.
-- BERNAMA