Am 16/10/2026 01:51 PM

Polis Terengganu Sita 77 Motosikal Dalam Ops Khas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Terengganu Sita 77 Motosikal Dalam Ops Khas
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor

KUALA TERENGGANU, 16 Okt (Bernama) -- Polis mengeluarkan 144 saman dan menyita 77 motosikal dalam Operasi Khas Motosikal di Jambatan Kilometer 11, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata operasi dari 1.30 hingga 8 pagi dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Motosikal (BSM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Beliau berkata operasi bertujuan mengesan dan membanteras kegiatan samseng jalanan yang mengganggu ketenteraman serta membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Sebanyak 208 individu dan 105 motosikal telah diperiksa sepanjang operasi itu.

“Antara kesalahan dikesan ialah motosikal tiada cermin sisi, tiada lesen atau tidak mempamerkan lesen kenderaan motor, nombor plat tidak mengikut spesifikasi, mengubah suai ekzos dan menggunakan aksesori yang  tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi pergerakan anak remaja supaya tidak terlibat dalam aktiviti berlumba pada malam hujung minggu.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil selaras dengan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333)/Seksyen 42A.

“Ini bererti individu yang terlibat dalam perlumbaan haram dan ujian kelajuan di jalan raya boleh didenda antara RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

-- BERNAMA