Am 15/10/2026 11:30 PM

Kesukarelawanan Medan Lahir Pemimpin Berkualiti- Taufiq

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kesukarelawanan Medan Lahir Pemimpin Berkualiti-  Taufiq
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari ditemu bual oleh pengacara Shuhadah Armawan dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk "Belanjawan 2027: Agenda Belia, Aspirasi Sukan Negara " di Wisma Bernama. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Program Budi Belia yang menawarkan insentif e-dompet RM100 kepada golongan muda yang aktif dalam aktiviti kesukarelawanan dijangka menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi pemimpin masa depan yang berintegriti dan bertanggungjawab.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu bukan sekadar menghargai penglibatan aktif golongan belia, malah menjadi platform penting untuk memupuk nilai kepekaan dan keprihatinan terhadap masyarakat.

“Pembentukan pemimpin yang baik sebenarnya bermula dengan kepekaan dan keprihatinan, yang boleh dipupuk melalui penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan.

“Justeru, pada tahun hadapan, kerajaan melihat usaha melahirkan sukarelawan yang hebat mampu membantu membentuk lebih ramai pemimpin berkualiti,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam ini.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata penglibatan golongan belia dalam aktiviti kesukarelawanan turut menjadi medan latihan untuk membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi serta mengasah keupayaan menguruskan pelbagai situasi.

Beliau berkata ramai pemimpin pada masa ini mempunyai pengalaman dalam bidang kesukarelawanan, termasuk menyertai misi dan program sukarelawan di peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Mohammed Taufiq menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai pertubuhan belia bagi memperkukuh kemahiran kepimpinan serta pengurusan organisasi.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa bekerjasama dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) serta pelbagai pertubuhan belia di seluruh negara bagi memperluas peluang penyertaan golongan muda dalam aktiviti pembangunan belia.

Mohammed Taufiq memaklumkan pertubuhan belia yang memenuhi syarat turut berpeluang memohon Geran Sejati MADANI sehingga RM100,000 tahun ini bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan belia.

-- BERNAMA