KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Persidangan Global Tipping Points (GTP) 2026 menghasilkan deklarasi yang menggariskan langkah konkrit bagi memperkukuh kesihatan planet dan kelestarian selepas empat hari perbincangan membabitkan pakar antarabangsa serta pemimpin industri di Sunway University di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Education Group Prof Datuk Elizabeth Lee berkata deklarasi yang dirangka perwakilan persidangan itu menjadi langkah penting dalam menterjemahkan perbincangan kepada tindakan nyata di negara masing-masing.
“Deklarasi itu dimuktamadkan pagi ini dan perkara ini penting kerana semua perwakilan berkumpul serta bersetuju mengenai hala tuju seterusnya, termasuk beberapa langkah positif dan konkrit yang perlu dilaksanakan,” katanya kepada Bernama sempena GTP 2026 di sini hari ini.
Persidangan selama empat hari yang bermula Isnin lalu itu mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya diadakan di luar United Kingdom (UK), dengan menghimpunkan pakar dan perwakilan dari seluruh dunia bagi membincangkan usaha menangani cabaran kritikal berkaitan kelestarian serta mewujudkan titik perubahan positif.
Lee menyifatkan persidangan itu sebagai kejayaan dengan pelbagai sesi pleno, perbincangan dan acara menghimpunkan peserta dari seluruh dunia.
“Kejayaan persidangan ini amat memberangsangkan. Kami tidak menyangka begitu banyak sesi pleno, perbincangan dan acara dapat diadakan dalam tempoh hanya empat hari, dengan perwakilan dari seluruh dunia bertukar pandangan mengenai cara mengubah titik perubahan yang membawa kesan negatif kepada titik perubahan positif,” katanya.
Beliau berkata komitmen Sunway terhadap kelestarian berteraskan nilai institusi yang selari dengan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain disokong pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Pusat Kesihatan Planet.
Menurut beliau usaha memupuk kesedaran mengenai kelestarian tidak seharusnya terhad kepada perbincangan di bilik kuliah, sebaliknya perlu diterapkan dalam kehidupan seharian pelajar bagi menggalakkan mereka mengamalkan gaya hidup lestari sebagai komitmen sepanjang hayat.
Lee turut menjadikan transformasi Sunway City oleh pengasas dan Pengerusi Sunway Group Tan Sri Sir Jeffrey Cheah daripada kawasan terbiar kepada ekosistem bandar lestari sebagai contoh bagaimana prinsip kelestarian dapat diterjemahkan kepada amalan sebenar.
Beliau berharap Malaysia dapat memainkan peranan utama dalam bidang kesihatan planet dan kelestarian sama ada di peringkat serantau mahupun global.
“Diharapkan Malaysia dapat memainkan peranan utama dan diiktiraf sebagai peneraju dalam bidang kesihatan planet serta kelestarian. Walaupun negara kita kecil, saya berpendapat kita mempunyai kesatuan yang kukuh. Ada kalanya, negara yang kecil juga mampu bergerak dengan lebih pantas,” katanya.
-- BERNAMA