Am 15/10/2026 10:31 PM

GTP 2026: Ubah Krisis Planet Kepada Peluang Cetus Perubahan Positif

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
GTP 2026: Ubah Krisis Planet Kepada Peluang Cetus Perubahan Positif
Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health (SCPH) Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Persidangan Global Tipping Points 2026 (GTP 2026) menggesa kerjasama lebih erat merentas sektor bagi mengubah krisis planet kepada peluang untuk mencetuskan perubahan positif.

Pengarah Eksekutif Sunway Centre for Planetary Health (SCPH) Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata persidangan itu, yang julung-julung kalinya diadakan di Asia, menghimpunkan pakar daripada pelbagai bidang untuk meneroka penyelesaian terhadap perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan pencemaran.

“Kita sedang berdepan dengan apa yang kita sebut sebagai krisis planet, iaitu perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan pencemaran, yang kesannya kita rasai setiap hari dalam kehidupan,” katanya dalam temu bual bersama Bernama bersempena dengan Persidangan Global Tipping Points 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata kejadian jerebu yang berulang juga merupakan satu lagi contoh kesan kerosakan alam sekitar, sekali gus menggariskan kepentingan dasar yang berkesan, penguatkuasaan dan tanggungjawab bersama.

“Jika kita benar-benar melakukan perkara yang betul, kita boleh mencetuskan titik peralihan positif yang juga mampu menjadi sesuatu yang tidak dapat dihalang, mampu membawa kebaikan dan membantu kita keluar daripada segala kesukaran ini,” katanya.

Dr Jemilah yang juga pengerusi bersama persidangan itu berkata acara selama tiga hari setengah itu menampilkan 12 sesi pleno dan lebih 20 bengkel tindakan.

Beliau berkata perbincangan itu menekankan keperluan menterjemahkan bukti saintifik kepada tindakan melalui komunikasi yang lebih berkesan, pembiayaan, kerangka perundangan, pendidikan dan penyertaan masyarakat.

“Deklarasi Kuala Lumpur benar-benar merupakan kemuncak kepada segala perkara yang kita bincangkan,” katanya.

Dr Jemilah berkata deklarasi itu menggariskan komitmen untuk menubuhkan gabungan komunikasi di Asia, meneroka sistem semula jadi bagi menyejukkan planet serta meningkatkan penyelarasan kewangan untuk tipping points.

Beliau berkata persidangan itu turut menekankan kepentingan mengkaji titik peralihan sosial seiring dengan perubahan saintifik dan fizikal bagi memahami dengan lebih mendalam bagaimana masyarakat dan institusi dapat mendorong perubahan positif.

“Terdapat pihak daripada sektor kewangan dan korporat yang hadir ke sini dan komited untuk menerajui amalan mampan,” katanya.

Dr Jemilah berkata penyertaan masyarakat amat penting dalam menangani cabaran alam sekitar, sambil menambah bahawa masyarakat setempat perlu diberi ruang untuk menyuarakan pandangan dalam keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan dan persekitaran mereka.

Beliau berkata laporan yang memfokuskan titik kritikal peralihan di Asia akan meneliti cabaran khusus yang dihadapi rantau itu, di samping mengenal pasti titik perubahan yang membawa kesan positif dan negatif.

Hasil GTP 2026 akan membantu memperkukuh usaha advokasi bagi menggalakkan tindakan dalam kalangan kerajaan, institusi kewangan dan masyarakat, menjelang Persidangan Global Tipping Points Conference seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Potsdam, Jerman pada 2027.

 

-- BERNAMA