Ekonomi 15/10/2026 08:25 PM

Perjanjian 123 Manfaatkan Pembangunan Nuklear Malaysia – Raja Abdul Aziz

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Perjanjian 123 Manfaatkan Pembangunan Nuklear Malaysia  – Raja Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Perjanjian 123 yang kini sedang dirundingkan antara Putrajaya dan Washington dijangka membuka jalan kepada Malaysia untuk mengakses kepakaran teknologi nuklear, membangunkan bakat tempatan selain mengukuhkan keupayaannya dalam pembangunan tenaga tersebut, kata Pengerusi Majlis Penasihat Tenaga Atom Malaysia, Raja Datuk Dr Abdul Aziz Raja Adnan.

Perjanjian 123, dinamakan sempena Seksyen 123 Akta Tenaga Atom Amerika Syarikat (AS) 1954, merupakan rangka kerja undang-undang penting yang diperlukan oleh AS sebelum sebarang pemindahan bahan, teknologi atau peralatan nuklear untuk tujuan aman boleh berlaku.

Raja Abdul Aziz berkata sebaik kedua-dua negara memuktamadkan rundingan, perjanjian itu akan memberi lebih keyakinan kepada vendor teknologi untuk berkongsi maklumat dengan Malaysia, membolehkan negara membina kepakaran yang diperlukan dan menyediakan tenaga kerjanya bagi pembangunan tenaga nuklear.

Rundingan sedang di peringkat akhir dan beliau tidak menjangkakan sebarang kesukaran untuk menandatangani perjanjian itu.

"Sebaik sahaja kami menandatangani perjanjian itu, kami akan dapat melatih orang ramai dan mendapat akses kepada maklumat. Ia akan menyakinkan vendor teknologi untuk berkongsi maklumat dengan kami, inilah yang kami kehendaki," katanya.

Raja Abdul Aziz menjelaskan bahawa pada masa ini sukar untuk melatih kakitangan dalam teknologi tenaga nuklear.

"Negara-negara terkait perlu tahu betapa seriusnya anda tentang tenaga nuklear sebelum mereka bersetuju untuk melatih anda. Kedua, mereka perlu memahami bagaimana anda mahu menggunakan pengetahuan itu memandangkan ini merupakan teknologi dwi-guna. Ia boleh digunakan untuk tujuan aman atau tidak aman," katanya.

Raja Abdul Aziz memberitahu pemberita demikian selepas menyertai sesi perbincangan panel bertajuk “Nuklear – Let's Talk About It!”, yang dikendalikan oleh Pengarah Wilayah Majlis Industri Tenaga (EIC) Syed Saggaf Syed Ahmad, pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 hari ini.

Pada 10 Julai 2025, Setiausaha Negara AS Marco Rubio dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memeterai Memorandum Persefahaman Berkenaan Kerjasama Nuklear Awam Strategik (NCMOU) yang bertujuan memajukan kerjasama nuklear secara aman antara AS dan Malaysia.

Penandatanganan itu mencerminkan komitmen bersama Malaysia dan AS untuk memajukan Perkongsian Komprehensif mereka termasuk meneroka bidang kerjasama baharu dalam menangani cabaran global.

-- BERNAMA