KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pembangun tenaga boleh baharu yang layak di bawah Pakej Peningkatan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) (CAP) akan menikmati caj akses sistem (SAC) tetap sebanyak 14 sen bagi setiap kilowatt-jam (KWJ) untuk tempoh 10 tahun, manakala pengguna tenaga hijau akan dikenakan caj berasingan sebanyak empat sen/KWJ.
Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata struktur caj yang disemak itu bertujuan memberikan kejelasan kos yang yang perlu ditanggung oleh pembangun, selain memastikan kos dan risiko diagihkan secara telus dan saksama antara pembangun dengan pengguna tenaga hijau.
“Bagi pengguna tenaga hijau, caj CRESS berasingan sebanyak empat sen bagi setiap KWJ akan dikenakan berdasarkan tarif semasa di bawah Tempoh Kawal Selia 4,” menurut ST dalam satu kenyataan.
Pada 13 Oktober, ST bersama-sama Tenaga Nasional Bhd (TNB), Pembeli Tunggal dan Pengendali Sistem Grid mengadakan taklimat di Putrajaya untuk memberikan maklumat lanjut mengenai CAP yang diumumkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) pada 18 September, termasuk struktur SAC yang dipertingkat serta langkah bagi memudahkan pelaksanaan projek.
Menurut ST, mekanisme kadar tetap itu terpakai kepada projek yang layak dan mencapai tarikh operasi komersial selewat-lewatnya pada 31 Dis 2028, tertakluk kepada kriteria kelayakan dan syarat yang ditetapkan.
Projek yang menyertai skim itu juga perlu mempunyai komitmen tempoh kontrak minimum selama 10 tahun.
Caj CRESS berasingan itu dikira berdasarkan penggunaan elektrik oleh pengguna tenaga hijau dan tidak termasuk dalam kos pembangunan projek atau SAC yang dikenakan kepada pembangun tenaga boleh baharu.
Mekanisme kadar tetap itu bertujuan meningkatkan kebolehjangkaan kos akses sistem, menyokong pembiayaan projek dan meningkatkan daya maju projek dari segi pembiayaan.
ST berkata pengasingan caj itu mencerminkan perbezaan aktiviti, tanggungjawab dan risiko yang ditanggung oleh pembangun dengan pengguna.
“Ia berpandukan prinsip kos yang mencerminkan kos sebenar, pengagihan kos secara saksama, pembahagian risiko yang adil dan ketelusan,” menurut suruhanjaya itu.
ST turut memberikan taklimat kepada peserta industri mengenai asas pengiraan SAC dan caj CRESS, termasuk komponen kos yang terlibat, pengagihan kos antara pembangun dengan pengguna tenaga hijau serta potensi penjimatan di bawah CAP berbanding struktur SAC sebelum ini.
Bagaimanapun, ST tidak menyatakan jumlah potensi penjimatan hasil mekanisme caj yang disemak itu.
CAP menerima sambutan yang menggalakkan, dengan kira-kira tiga gigawatt projek kini dalam perancangan di bawah CRESS, mencerminkan minat berterusan terhadap perolehan tenaga boleh baharu oleh sektor korporat serta potensi pertumbuhan selanjutnya dalam sektor tenaga boleh baharu Malaysia.
ST juga sedang berusaha menambah baik rangka kerja CRESS, meliputi keperluan teknikal dan operasi, aturan kontrak, prosedur serta dokumentasi permohonan.
Pindaan tambahan kepada Garis Panduan CRESS yang merangkumi CAP, bersama penambahbaikan teknikal dan prosedur berkaitan, dijangka diterbitkan menjelang November 2026.
Penambahbaikan itu bertujuan memberikan kejelasan yang lebih baik kepada peserta industri, memudahkan pelaksanaan projek dan memperkukuh rangka kerja CRESS secara keseluruhan.
CRESS membolehkan pembangun tenaga boleh baharu membekalkan elektrik secara langsung kepada pengguna korporat menerusi grid elektrik sedia ada.
-- BERNAMA