Ekonomi 15/10/2026 06:25 PM

Peruntukan Pembangunan Belanjawan 2027 Jadi Teras Strategi Rmk13 - MoF

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Peruntukan Pembangunan Belanjawan 2027 Jadi Teras Strategi Rmk13 - MoF

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM83 bilion di bawah Belanjawan 2027 adalah sebahagian daripada peruntukan pembangunan RM430 bilion bagi tempoh lima tahun melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 untuk memperluas kapasiti produktif dan memacu pertumbuhan ekonomi bernilai lebih tinggi, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Timbalan Setiausaha Bahagian (Sektor Makroekonomi, Bahagian Fiskal dan Ekonomi) MoF Rozita Abd Matalib berkata Belanjawan 2027 menterjemahkan hala tuju jangka sederhana Ekonomi MADANI dan RMK13 kepada pembiayaan serta pelaksanaan tahunan, dengan memberi keutamaan kepada sektor pembuatan bernilai tinggi, aktiviti digital dan projek peralihan tenaga.

“Strategi kami adalah untuk memperkukuh kapasiti produktif Malaysia supaya kita dapat mengekalkan pertumbuhan bernilai lebih tinggi, mewujudkan pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik dan meningkatkan taraf hidup.

“Di bawah Ekonomi MADANI, RMK13 menghubungkan peningkatan daya saing ekonomi dengan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya pada sesi perbincangan panel secara maya MARC360 bertajuk “Decoding Budget 2027 -- The Economy and What Comes Next” hari ini.

Rozita berkata RMK13 menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus serta pertumbuhan produktiviti buruh tahunan sebanyak 3.6 peratus.

“Naik taraf industri adalah teras kepada pendekatan ini, dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Nasional menyokong pengembangan Malaysia kepada aktiviti bernilai lebih tinggi, termasuk reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju dan pembangunan teknologi,” katanya.

Menurutnya syarikat Malaysia perlu membangunkan harta intelek sendiri dan meneroka pasaran antarabangsa.

“Penggunaan praktikal pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor pembuatan, proses perniagaan dan penyampaian perkhidmatan akan terus meningkatkan produktiviti.

“Selain itu, pelaburan modal sektor awam akan dilengkapi dengan modal swasta melalui kerjasama awam-swasta (PPP) serta pelaburan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam tenaga boleh baharu, penyimpanan tenaga dan infrastruktur grid bagi memperkukuh keselamatan tenaga,” katanya.

-- BERNAMA