Am 15/10/2026 05:02 PM

PNM Perkasa Literasi Inklusif, Sedia 188 Judul Braille Dan Buku Audio

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PNM Perkasa Literasi Inklusif, Sedia 188 Judul Braille Dan Buku Audio
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Edy Irwan Zulkafli (tengah) bergambar bersama peserta Orang Kurang Upaya (OKU) pada Majlis Penutup Program Sehari bersama OKU 2026 di Anjung Bestari, PNM hari ini.

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terus memperluas akses ilmu kepada orang kurang upaya (OKU) penglihatan menerusi penyediaan 85 judul bahan bacaan Braille dan 103 judul buku audio setakat ini.

Ketua Pengarah PNM Edy Irwan Zulkafli berkata usaha itu mencerminkan komitmen institusi berkenaan untuk memastikan akses kepada ilmu dan maklumat dapat dinikmati semua golongan, tanpa mengira keupayaan masing-masing.

“Di PNM, kita tidak hanya menyediakan buku tetapi kita membina jambatan untuk melebarkan ufuk minda tanpa sebarang sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Program Sehari Bersama OKU 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata PNM, selaku Entiti Yang Diberi Kuasa di bawah Triti Marrakesh, komited memperluas penyediaan bahan bacaan dalam format boleh akses bagi membantu OKU penglihatan mendapatkan maklumat dan menikmati peluang pendidikan.

Edy Irwan berkata usaha itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya Matlamat 4 berkaitan pendidikan berkualiti dan Matlamat 10 bagi mengurangkan ketidaksamarataan.

Program tahunan bersempena Hari Tongkat Putih Sedunia pada 15 Okt itu merupakan kemuncak beberapa aktiviti yang dilaksanakan sejak Ogos lepas, termasuk pertandingan Cerita Di Sebalik Bacaan, Video Naratif, Deklamasi Sajak Suara Inklusif Cilik MADANI dan Dendangan Syair Suara Inklusif Generasi MADANI.

Pengisian lain termasuk sesi Podcast Sembang Inklusif bersama Masitah Mohd Afandy, pameran teknologi bantu, reruai Sukarelawan Sumbang Suara PNM serta perkhidmatan terapi refleksologi yang dikendalikan komuniti OKU penglihatan.

Sementara itu, pemenang pertandingan video naratif Cerita Di Sebalik Bacaan, Mohd Uwais Mohd Hazril Munir @ Umar, 20, berkata video berdurasi tiga minit yang dihasilkannya membawa mesej individu dengan masalah pembelajaran memerlukan sokongan masyarakat dan tidak seharusnya menghadapi cabaran bersendirian.

Mahasiswa Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya yang mempunyai masalah disleksia itu tidak menyangka dinobatkan sebagai pemenang memandangkan penyertaannya dibuat pada saat akhir.

Beliau berkata cabaran utama ialah menyiapkan skrip dalam tempoh singkat serta memastikan mesej video mudah difahami, termasuk oleh penonton daripada kategori OKU berbeza.

“Saya berharap video yang saya buat dapat menyampaikan mesej bahawa bukan semua orang yang mempunyai masalah pembelajaran perlu bergerak bersendirian dan mereka perlu ada komuniti yang menyokong,” katanya.

Mohd Uwais berharap masyarakat terus menyokong komuniti OKU, termasuk dengan membantu memudahkan urusan harian dan memberikan bantuan kepada individu yang menghadapi kesukaran membaca.

-- BERNAMA