KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Keupayaan diri bukan penghalang buat pelajar orang kurang upaya (OKU) dari Kelantan Muhammad Syakir Zailani, 17, untuk terus mengharumkan nama negara, apabila bakal mewakili Malaysia pada Pertandingan Global IT Challenge E-Content di Vietnam, dari 26 hingga 30 Okt.
Lebih membanggakan, penyertaan kali keempatnya dalam pertandingan itu, hadir dengan rekod cemerlang selepas berjaya meraih tiga pingat emas dalam dua penyertaan terdahulu.
Muhammad Syakir, pelajar Sekolah Menengah Ketereh, berkata beliau yakin dan bersedia untuk sekali lagi bersaing pada peringkat antarabangsa, selepas terpilih mewakili Kelantan.
“Pertandingan yang akan diadakan pada 26 Okt hingga 30 Okt ini, merupakan penyertaan kali keempat bagi saya setelah terpilih untuk mewakili negeri Kelantan bagi menyertai pertandingan berprestij itu.
“Pada tahun 2024 saya sudah memenangi dua anugerah pingat emas bagi pertandingan yang sama di Manila, Filipina bagi kategori e-tool spreadsheet dan e-life map, selain pada tahun 2023 saya turut memenangi pingat emas bagi kategori e-tool spreadsheet di Dubai.
“Walaupun berstatus kurang upaya, namun saya tidak pernah meletakkan kekurangan diri ini sebagai penghalang untuk menempatkan diri dalam pertandingan pada peringkat antarabangsa, bahkan berjaya meraih pingat emas untuk dibawa pulang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pemberian Bantuan di sini, hari ini.
Muhammad Syakir berkata beliau bercita-cita untuk menjadi pakar teknologi maklumat (IT) pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Siti Norina Muhamad berkata pihaknya menubuhkan jawatankuasa peringkat jabatan, bagi memantau perkembangan semasa kualiti udara di negeri itu susulan beberapa negeri dilanda jerebu.
Beliau berkata jawatankuasa berkenaan memantau situasi jerebu dari semasa ke semasa, khususnya menerusi bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di dua stesen pemantauan kualiti udara di Kota Bharu dan Tanah Merah.
Siti Norina berkata bacaan IPU di kedua-dua lokasi itu setakat ini masih di bawah paras 100, namun langkah berjaga-jaga tetap diambil bagi memastikan keselamatan warga sekolah.
“Kita menasihatkan semua warga pendidik dan pelajar, terutama golongan berisiko supaya menjaga kesihatan, selain menggalakkan pemakaian pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara,” katanya.
-- BERNAMA