Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Geran padanan hingga RM5,000 untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pensijilan halal kali pertama perlu dimanfaatkan sebagai langkah awal memperluas pasaran produk tempatan, selain menggalakkan lebih banyak PMKS menceburi industri halal.
Presiden Kebangsaan Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia Dr Chin Chee Seong berkata bantuan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2027 itu boleh meringankan beban perusahaan mikro dan kecil, khususnya yang belum mampu menanggung kos pensijilan itu sendiri.
“Bagi perusahaan mikro, walaupun RM5,000 mungkin kelihatan kecil, jumlah ini memberikan bantuan bermakna. Apa yang penting bukan hanya jumlah geran yang diumumkan, tetapi bilangan PMKS yang berjaya memperoleh pensijilan halal dan meningkatkan jualan selepas itu,” katanya kepada Bernama.
Chin berkata pensijilan halal bukan sekadar pengiktirafan agama, tetapi menjadi kelebihan untuk berdaya saing kerana dapat meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk dan proses pengeluaran oleh sesebuah syarikat.
Bagi PMKS yang mahu mengembangkan perniagaan, pensijilan itu dapat menjadi kelebihan untuk memasuki rangkaian pasar raya, peruncit besar dan industri makanan serta minuman selain membuka peluang meneroka pasaran luar negara.
“Malaysia mempunyai reputasi dalam pembangunan ekosistem halal dan ini memberikan peluang kepada PMKS tempatan untuk memperluas perniagaan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Chin mengingatkan pemilikan sijil halal sahaja tidak menjamin kejayaan eksport kerana usahawan masih perlu memenuhi keperluan pasaran sasaran seperti piawaian keselamatan produk, pembungkusan, pelabelan dan kapasiti pengeluaran.
Oleh itu, Chin berpandangan kerajaan perlu menghubungkan program pensijilan halal dengan program pembangunan eksport melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Halal Development Corporation Bhd (HDC) dan agensi berkaitan.
Penyelarasan itu, menurut beliau membantu usahawan bergerak daripada peringkat pensijilan kepada usaha mendapatkan pembeli, menembusi saluran pengedaran dan eksport serta meningkatkan jualan.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon pula berkata bantuan kerajaan itu memudahkan usahawan meneroka pasaran lebih besar ke luar negara dengan memiliki sijil halal.
“Kami menyambut baik pengumuman dibuat Perdana Menteri kerana pensijilan halal sememangnya mempunyai pasaran besar. Lebih-lebih lagi halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diakui terbaik dan dipercayai di seluruh dunia,” katanya.
-- BERNAMA