Am 16/10/2026 08:53 AM

199 Kes Jenayah Melibatkan Pelarian Myanmar Direkodkan Di Seluruh Negara Sejak 2022

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
199 Kes Jenayah Melibatkan Pelarian Myanmar Direkodkan Di Seluruh Negara Sejak 2022

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Selangor merekodkan jumlah kes jenayah indeks tertinggi melibatkan pelarian Myanmar dengan 58 kes dari 2022 hingga Ogos lepas, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, KDN memaklumkan sebanyak 199 kes jenayah indeks melibatkan pelarian Myanmar direkodkan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Daripada jumlah itu, sebanyak 52 kes direkodkan pada 2022, diikuti 43 kes pada 2023, 37 kes pada 2024, 29 kes pada 2025 dan 38 kes setakat Ogos 2026.

Mengikut negeri, selepas Selangor, Kedah mencatat 26 kes, diikuti Johor (24), Kuala Lumpur (22), Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan masing-masing 13 kes, serta Perak dan Terengganu masing-masing 12 kes, Melaka (empat) dan Negeri Sembilan (dua kes). 

KDN menjelaskan bahawa pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan secara menyeluruh melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23, yang menetapkan garis panduan serta peranan kementerian dan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan negara terpelihara.

“Kerajaan turut memperkukuh kawalan dan pemantauan terhadap komuniti pelarian, termasuk etnik Rohingya, melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bermula pada 1 Jan 2026.

“Program itu bertujuan memperkukuh pengurusan data pelarian secara berpusat dan mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” menurut kementerian itu. 

KDN memaklumkan bagi Fasa 1 program berkenaan, sebanyak 4,010 tahanan di depot tahanan imigresen di seluruh Semenanjung Malaysia telah didaftarkan, terdiri daripada 4,008 warga Myanmar serta masing-masing seorang warga Sudan dan Syria.

“Individu dewasa akan dipindahkan secara berperingkat ke Pusat Pengasingan Khas Pelarian dan Pemohon Suaka di Bidor, Perak, yang mempunyai kapasiti operasi 400,” menurut KDN.

Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) tentang jumlah kesalahan jenayah melibatkan pelarian Myanmar mengikut negeri serta langkah kerajaan memperkukuh kawalan, pendaftaran dan pemantauan komuniti tersebut bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), KDN memaklumkan sebanyak 159,232 pendatang tanpa izin ditangkap dalam 53,318 operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara dari 2025 hingga Ogos lepas.

Operasi itu turut menyaksikan sejumlah 659,191 individu diperiksa, manakala 6,099 majikan diambil tindakan kerana didapati menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin tanpa kebenaran sah.

Berhubung pemalsuan kad UNHCR pula, kementerian itu menjelaskan hanya satu kes direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), setakat ini.

“Kes yang berlaku di Kuala Lumpur itu melibatkan enam warga Myanmar dan kesemua mereka telah dituduh di mahkamah,” menurut kementerian itu. 

Rosol ingin tahu jumlah kes penipuan kad UNHCR di Malaysia yang direkodkan sehingga kini dan tindakan yang telah dikenakan terhadap mereka, serta jumlah tangkapan warga asing sejak 2023 hingga kini mengikut negara asal, jenis kesalahan dan tindakan dikenakan.

-- BERNAMA