Ekonomi 15/10/2026 02:19 PM

1,204 PMKS Terima Manfaat Daripada Program Sinar Setakat 30 Sept - KUSKOP

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
1,204 PMKS Terima Manfaat Daripada Program Sinar Setakat 30 Sept - KUSKOP
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sebanyak 1,204 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah menerima manfaat daripada program Sokongan Industri dan Perniagaan (SINAR) yang dilaksanakan SME Corp Malaysia setakat 30 Sept.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata program yang diumumkan pada Jun itu menyediakan akses kepada pembiayaan dan sokongan perniagaan tambahan bagi membantu PMKS.

“Program SINAR merupakan satu daripada usaha SME Corp Malaysia dalam membantu PMKS yang terkesan akibat krisis global, khususnya berikutan gangguan rantaian bekalan serta peningkatan kos dan bahan api yang memberi kesan kepada operasi perniagaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) mengenai status pelaksanaan program SINAR serta mekanisme oleh kementerian bagi memastikan PMKS menerima manfaat daripada program tersebut.

Mohamad berkata program itu melibatkan peruntukan keseluruhan RM205 juta menerusi beberapa inisiatif, termasuk Skim Pembiayaan Mudah untuk PMKS, dengan peruntukan RM30 juta dan pinjaman sebanyak RM7.12 juta telah diluluskan kepada lapan PMKS setakat ini.

Selain itu, katanya, Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PMKS pula meluluskan pinjaman RM8.88 juta kepada 18 PMKS, manakala Skim Pembiayaan PRESTIGE 2.0 memanfaatkan 15 PMKS menerusi kelulusan pinjaman RM11.53 juta.

“Sebanyak RM5 juta pula diperuntukkan untuk Program Penskalaan Perniagaan Inklusif yang telah memberi manfaat kepada 192 PMKS, menerusi geran berjumlah RM4.64 juta setakat ini,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 971 PMKS turut mendapat manfaat daripada diskaun 50 peratus bagi permohonan Sijil Status PMKS yang ditawarkan sehingga Ogos lepas.

Diskaun itu yang akan diteruskan bermula esok sehingga 31 Dis 2026 bertujuan untuk memudahkan lebih banyak PMKS mendapatkan pengesahan status dan mengakses bantuan keusahawanan, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Belanjawan 2027 menyediakan sokongan berjumlah RM67.9 bilion bagi pembangunan PMKS, melalui kemudahan pembiayaan dan jaminan, perluasan akses pasaran, pembangunan modal insan serta pendigitalan dan automasi. 

Mohamad berkata sebanyak RM137 juta peruntukan disediakan untuk SME Corp Malaysia bagi melaksanakan program pembangunan PMKS tahun depan, meningkat 17 peratus berbanding RM117 juta pada 2026.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu mengenai penggunaan peruntukan tersebut, beliau berkata RM50 juta diperuntukkan bagi Dana Pemangkin Penskalaan, merangkumi RM35 juta dalam bentuk pinjaman dan RM15 juta dalam bentuk pelaburan.

Katanya, inisiatif lain termasuk program PKS Lestari, Peningkatan Industri Strategik dan Syarikat Berprestasi Tinggi (PRESTIGE), program kesediaan PMKS untuk penyenaraian di Bursa Malaysia, PKS Akses, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) serta program Penskalaan Mikro (GrowBiz).

-- BERNAMA