KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Kerajaan sedang memperincikan pendekatan baharu untuk memastikan tarif elektrik lebih adil dan sesuai dengan keadaan semasa pada tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Suruhanjaya Tenaga dipertanggungjawabkan untuk menjalankan kajian terperinci pada tahun depan untuk menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap.
“Antara pendekatan yang ingin diperkenalkan ialah user-pay basis, iaitu mereka yang menggunakan lebih banyak tenaga, khususnya pusat data dan industri akan dikenakan kadar berbeza daripada pengguna domestik.
“Ini bertujuan memastikan kadar tarif lebih adil kepada pengguna, khususnya dalam melindungi pengguna domestik,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai perancangan kerajaan untuk mengkaji semula mekanisme pengecualian caj elektrik kepada 800 kilowatt-jam (kWj) selepas 31 Dis 2026.
Fadillah berkata meskipun kos penjanaan elektrik meningkat mendadak susulan krisis di Asia Barat, kerajaan memberi jaminan bahawa pengguna domestik dengan penggunaan di bawah 600 kWj dilindungi daripada kenaikan kos berkenaan sebelum had itu dinaikkan kepada 800 kWj ketika ini.
“Bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih cekap, kita memperkenalkan beberapa inisiatif, termasuk masa penggunaan yang menawarkan kadar lebih murah pada waktu tertentu.
“Di samping itu, banyak perkara lain yang diperkenalkan termasuklah program rebat bil elektrik RM40 kepada ketua isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta bagi 2026,” katanya.
Fadillah berkata sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi program SuRIA Home dengan rebat RM600 bagi setiap satu kilowatt arus ulang-alik (kWac) untuk pemasangan solar kediaman, tertakluk kepada maksimum RM3,000 bagi sistem sehingga lima kWac.
Program itu menyasarkan kira-kira 45,000 hingga 50,000 isi rumah, khususnya golongan M40 dan sebahagian B40 yang berkemampuan untuk memiliki solar di rumah.
“Kita juga ada program NUR MADANI yang menawarkan rebat RM200 kepada setiap orang yang membeli peralatan penyaman udara cekap tenaga serta peti sejuk yang bertaraf empat dan lima bintang.
“Terdapat banyak pendekatan yang dilaksanakan tetapi yang lebih utama, kita sedang memperincikan pendekatan baharu tahun depan untuk memastikan tarif (elektrik) akan lebih berdasarkan penggunaan (iaitu) domestik lain dan industri lain, yang menggunakan lebih banyak tenaga (maknanya) pendekatan berlainan.
“Ini diharapkan lebih adil dan sesuai dengan apa yang bakal kita hadapi pada tahun mendatang,” katanya.
-- BERNAMA