Am 15/10/2026 12:49 PM

MASOC Sasar Tajaan RM200 Juta Bagi Sukan SEA, APG 2027 - Abdul Rashid

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MASOC Sasar Tajaan RM200 Juta Bagi Sukan SEA, APG 2027 - Abdul Rashid
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) dan Sukan Para ASEAN 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sekretariat Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) menyasarkan kutipan penajaan sebanyak RM200 juta bagi penganjuran Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN (APG) 2027 di negara ini, tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MASOC Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata pihaknya setakat ini telah memperoleh penajaan dianggarkan RM40 juta hingga RM50 juta, merangkumi penajaan tunai dan barangan.

“Lebih kurang RM100 juta penajaan diperoleh bagi edisi Kuala Lumpur 2017 termasuk tunai dan juga barangan. Jika boleh untuk edisi 2027 kita mahu dapat RM200 juta.

“Kita akan usaha ke arah (penajaan) melebihi RM100 juta dan berdasarkan trend sekarang, saya rasa Insya-Allah (capai sasaran),” katanya ketika ditemu bual Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata lebih 10 syarikat besar telah berhubung dengan pihaknya dan menyatakan hasrat untuk bersama-sama menjayakan penganjuran kedua-dua temasya sukan dwitahunan itu.

Abdul Rashid berkata kebanyakan syarikat berkenaan mempunyai operasi di Malaysia dan perniagaan di negara-negara serantau Asia Tenggara.

Beliau berkata bajet asal sebanyak RM700 juta bagi keseluruhan kluster dijangka mencukupi, dengan sumbangan penaja dalam bentuk tunai dan barangan dapat membantu mengurangkan kos penganjuran.

Justeru, beliau mengalu-alukan lebih banyak syarikat sektor swasta untuk tampil memberikan penajaan bagi menyokong penganjuran temasya sukan serantau itu.

Sementara itu, Abdul Rashid berpuas hati dengan usaha promosi Sukan SEA dan APG 2027 setakat ini, termasuk menerusi kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 baru-baru ini.

Bekas Ketua Pengarah MSN itu berkata penyertaan MASOC dalam LTdL memberi peluang kepada pihaknya memperluas pendedahan temasya itu menerusi penajaan jersi pecut serta penampilan maskot rasmi, Tuah, di sepanjang laluan perlumbaan yang merentasi lebih 1,200 kilometer dan lapan negeri.

Sukan SEA 2027 yang melibatkan empat kluster utama meliputi Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept tahun depan.

APG 2027 dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 23 Okt tahun depan.

-- BERNAMA