Am 15/10/2026 10:33 AM

EFT RM270 Juta: Langkah Strategik Lestari Alam Sekitar, Perkukuh Ekonomi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
EFT RM270 Juta: Langkah Strategik Lestari Alam Sekitar, Perkukuh Ekonomi
Kiri (Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin) dan kanan (Prof Dr Mohd Fadhil Md Din)

Oleh Suraidah Roslan dan Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) kepada RM270 juta dilihat sebagai langkah strategik bagi menjamin kelestarian alam sekitar, sekali gus memperkukuh kesejahteraan ekonomi dan ketahanan negara mendepani perubahan iklim.

Pakar Rujuk Kelestarian dan Alam Sekitar Malaysia Prof Dr Mohd Fadhil Md Din berkata usaha pemuliharaan kini tidak lagi sekadar tertumpu kepada penanaman pokok atau perlindungan hidupan liar semata-mata, malah merangkumi pengurusan banjir, keselamatan air serta pemulihan ekosistem pesisir pantai.

Beliau yang juga Exco Majlis Profesor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor berkata dana berkenaan mampu membantu kerajaan negeri memperluas perlindungan habitat dan membangunkan aktiviti ekonomi komuniti berasaskan sumber alam yang mampan.

“Pemberian dana EFT semakin menekankan indikator keberhasilan, termasuk keluasan habitat yang benar-benar terlindung, pengurangan penyahhutanan, peningkatan kesihatan biodiversiti dan perlindungan kawasan tadahan air.

“Dalam konteks ini, EFT boleh menjadi mekanisme yang menghubungkan perlindungan alam sekitar dengan pembangunan ekonomi negeri tanpa terlalu bergantung kepada eksploitasi sumber semula jadi,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Mohd Fadhil mencadangkan agar Malaysia memperkukuh pendekatan Perakaunan Modal Semula Jadi dan Imbangan Ekologi Semula Jadi supaya nilai khazanah alam seperti hutan dan sungai dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang boleh diukur.

“Dengan cara ini, pemuliharaan alam sekitar bukan lagi dilihat sebagai kos semata-mata, sebaliknya sebagai pelaburan strategik untuk mengurangkan kerugian akibat bencana, melindungi sumber negara dan menjamin kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Siti Suriawati Isa pula, peningkatan dana EFT kepada RM270 juta sebagai langkah progresif Kerajaan Persekutuan dalam memberi insentif langsung kepada negeri yang mengekalkan kawasan perlindungan.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah itu masih dianggap sebagai “dana permulaan” yang memerlukan pemantauan rapi bagi mengelakkan sebarang ketirisan dalam pelaksanaannya.

“Melalui dana geran tunai EFT, kerajaan negeri mendapat pampasan atau insentif fiskal untuk tidak meneroka hutan bagi tujuan pembangunan atau pertanian komersial tetapi dana ini belum mencukupi jika diukur berdasarkan skala keperluan sebenar pemuliharaan hutan,” katanya.

Sehubungan itu, Siti Suriawati mencadangkan agar EFT tidak lagi disalurkan melalui peruntukan belanjawan tahunan, sebaliknya dimaktubkan dalam undang-undang sebagai geran berkanun yang tetap bagi menjamin kesinambungan pemeliharaan alam negara.

Sementara itu, Pengarah Pusat Jaringan Strategik Universiti (CNET) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin berkata pemuliharaan hutan, bakau dan tanah gambut perlu diteruskan kerana peranannya yang penting dalam mengekalkan simpanan karbon.

Katanya, ia juga dapat membantu pengukuhan daya tahan ekosistem yang wajar diteruskan kerana manfaatnya merangkumi perlindungan alam, kesihatan awam dan kegiatan ekonomi.

Beliau turut menyifatkan peruntukan RM100 juta bagi pembangunan kolam takungan dan penyelenggaraan sungai di Lembah Klang sebagai langkah tepat untuk meminimumkan risiko banjir kilat.

“Bagi Kelantan, saya menyambut baik pembangunan Projek Empangan Lebir sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang memperkukuh pengurusan banjir dan sumber air.

“Pembangunan ini berpotensi menyokong keterjaminan sumber air mentah dan apabila disepadukan dengan kemudahan rawatan dan sistem agihan yang baik, ia dapat menyumbang kepada usaha meningkatkan bekalan air bersih kepada rakyat,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas mengumumkan peningkatan EFT kepada RM270 juta bertujuan menggalakkan perlindungan dan pemuliharaan kawasan semula jadi yang mempunyai nilai ekologi penting

-- BERNAMA