PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Pegawai pengembangan veterinar memainkan peranan penting sebagai penghubung antara dasar kerajaan, kepakaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan komuniti penternak, bagi meningkatkan produktiviti industri ternakan serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata keberkesanan peranan itu, perlu diukur berdasarkan perubahan prestasi di ladang termasuk pengurangan kadar kematian anak ternakan, peningkatan hasil susu dan berat ternakan, serta pertambahan pendapatan penternak.
“Dasar dan sasaran hanya akan membuahkan hasil apabila sampai kepada penternak dalam bentuk ilmu dan amalan yang betul.
“Oleh itu, pelaksanaan Lawatan Terancang Berjadual dan Analisis Margin Kasar, perlu dimanfaatkan secara sistematik, bagi menilai keberkesanan intervensi berdasarkan data serta bukti yang nyata,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Pengembangan Veterinar 2026 bertemakan “Pengembangan Veterinar Pemacu Produktiviti dan Keterjaminan Makanan”, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron.
Chan berkata kadar kebergantungan import bagi daging lembu dan kerbau pada 2025 ialah 82.6 peratus, manakala daging kambing dan bebiri sebanyak 90.7 peratus.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata kementerian menyasarkan pengeluaran daging lembu dan kerbau sebanyak kira-kira 50,000 tan metrik tahun ini, dengan Kadar Sara Diri (SSR) meningkat kepada 18 peratus, disokong 68 ladang satelit di tujuh negeri, yang telah menghasilkan lebih 45,000 ekor ternakan.
“Hala tuju ini diperkukuh melalui Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030), yang menggariskan usaha memperkukuh industri pembiakbakaan ternakan, memaksimumkan pengeluaran ruminan dan tenusu domestik, serta memantapkan perkhidmatan pengembangan sebagai pemangkin modal insan," katanya.
Chan turut menggariskan tiga keutamaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, iaitu bimbingan berasaskan data, penyelarasan bantuan merentas agensi serta membina kepercayaan penternak melalui khidmat nasihat dan susulan yang konsisten.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan tiga buku panduan terbitan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) iaitu Garis Panduan Amalan Penternakan Baik Lembu Tenusu, Panduan Amalan Penternakan Baik Kambing dan Bebiri, serta Panduan Amalan Penternakan Baik Lembu Fidlot.
“Tahniah kepada DVS atas penerbitan ini dan saya berharap garis panduan ini, dimanfaatkan sepenuhnya dalam latihan dan bimbingan di lapangan, bukan sekadar menjadi hiasan rak,” katanya.
Chan turut menyampaikan anugerah kepada DVS Perak, yang muncul sebagai Juara Keseluruhan Pengembangan Terbaik 2026, dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan sijil penghargaan.
Pada tahun ini, 78 pencalonan diterima bagi lapan kategori pertandingan, merangkumi aspek perkhidmatan dan projek pengembangan veterinar.
Lapan kategori itu ialah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terbaik, Perkhidmatan Veterinar Daerah Terbaik, Projek Pembangunan Veterinar Industri Asas Ternakan Terbaik dan Projek Pengembangan Veterinar Terbaik.
Selain itu, Poster Projek Pengembangan Veterinar Terbaik, Persembahan Video Projek Pengembangan Veterinar Terbaik, Pegawai Pembimbing Pengembangan Veterinar Terbaik dan Perkhidmatan Veterinar Pusat Operasi VetEC Terbaik.
-- BERNAMA