KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bunyi deruman halus kenderaan elektrik (EV) yang meluncur di jalan raya Malaysia menandakan bukan hanya perubahan dalam dunia mobiliti moden, tetapi juga mengetengahkan kemunculan tenaga kerja yang menerajui era baharu teknologi automotif.
Daripada mengendalikan sistem voltan tinggi yang kompleks dan mengenal pasti kerosakan elektronik yang rumit kepada menguasai teknologi bateri serta aspek keselamatan teknikal, kemahiran untuk memastikan EV terus beroperasi semakin berbeza daripada kepakaran yang lazim diperlukan dalam penyelenggaraan kenderaan konvensional.
Ketika penggunaan EV kian meningkat, industri automotif Malaysia berdepan cabaran untuk memastikan keupayaan teknikalnya berkembang seiring dengan pertambahan jumlah kenderaan itu. Keadaan ini mewujudkan permintaan bukan sekadar terhadap lebih ramai juruteknik, tetapi juga tenaga kerja yang memiliki gabungan kemahiran baharu bersesuaian dengan teknologi kenderaan canggih.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET Zhang Qiang berkata peralihan Malaysia kepada EV tidak boleh diukur berdasarkan peningkatan penggunaan kenderaan itu semata-mata, kerana pembangunan modal insan dan keupayaan teknikal yang menyokong industri berkenaan juga perlu bergerak seiring.
“Seiring dengan pertumbuhan Proton e.MAS, kita perlu meningkatkan keupayaan tenaga kerja di sebalik jenama ini, yang bermakna memperkasa tenaga kerja sedia ada, membuka peluang kepada bakat baharu dan memastikan kemahiran yang dibangunkan memenuhi keperluan sebenar industri,” katanya.
Permintaan terhadap kemahiran berkenaan meningkat ketika pasaran EV Malaysia terus berkembang, dengan sebanyak 47,508 unit didaftarkan antara Januari hingga Ogos tahun ini, mengatasi jumlah 44,813 unit yang direkodkan sepanjang 2025, menurut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Proton e.MAS merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan itu, menguasai kira-kira 61 peratus daripada jumlah pendaftaran kenderaan elektrik bateri (BEV) di Malaysia pada Ogos 2026.
Zhang berkata bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, PRO-NET selaku penggerak jenama Proton e.MAS melabur dalam pembangunan keupayaan perkhidmatan selepas jualan EV, selain bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TVET MARA untuk meningkatkan kemahiran juruteknik serta penasihat servis menerusi latihan berstruktur, pendedahan praktikal dan pensijilan.
Beliau berkata pembangunan juruteknik EV memerlukan pendekatan yang berbeza daripada latihan automotif konvensional kerana teknologi EV menuntut penguasaan khusus dalam sistem elektrik, komponen voltan tinggi, sistem pengecasan dan motor pacuan, berbanding penyelenggaraan kenderaan tradisional yang lebih tertumpu pada sistem mekanikal.
“Aspek keselamatan juga amat penting dalam latihan ini. Juruteknik yang mengendalikan EV terdedah kepada sistem voltan tinggi, justeru mereka perlu dilatih untuk mematuhi prosedur keselamatan yang ketat serta menggunakan peralatan dan perkakasan khusus bagi penyelenggaraan dan diagnosis kerosakan EV,” katanya.
“Oleh sebab itulah pelaburan dalam latihan amat penting. Usaha ini bukan sekadar mengajar juruteknik menyelenggara jenis kenderaan baharu, tetapi membangunkan keupayaan teknikal pada tahap yang lebih tinggi agar mereka dapat mengenal pasti kerosakan, menyelenggara dan membaiki EV dengan selamat serta cekap, seiring dengan penggunaan teknologi ini yang kian meluas,” tambah beliau.
Program Juruteknik Bertauliah e-Mas (e.CTP) menumpukan pada penyelenggaraan EV, diagnosis kerosakan dan sistem voltan tinggi, manakala Program Penasihat Servis Bertauliah e.MAS (e.CSA) bertujuan memperkukuh pengetahuan mengenai produk EV, perkhidmatan dan aspek teknikal bagi membantu petugas barisan hadapan memberikan khidmat yang lebih baik kepada pelanggan.
“Kerjasama dengan MARA dan TVET MARA turut menyediakan latihan amali, latihan sambil bekerja, latihan industri, program perantisan serta pendedahan teknikal bagi melengkapkan bakat baharu dengan kelayakan formal dan kemahiran praktikal yang memenuhi keperluan pekerjaan,” katanya.
Dengan semakin banyak EV berada di jalan raya, kesiapsiagaan menyeluruh dalam perkhidmatan selepas jualan menjadi bertambah penting, termasuk dari segi keupayaan diagnosis kerosakan, penyelenggaraan dan kepakaran teknikal untuk menyokong pemilik kenderaan memandangkan penggunaan teknologi itu kian meluas.
Pada Ogos lalu, satu pencapaian penting direkodkan apabila 37 juruteknik daripada 25 pengedar sah Proton e.MAS memperoleh pensijilan EV Tahap 2 daripada TVET MARA selepas berjaya menamatkan tujuh modul latihan, termasuk latihan sistem voltan tinggi, disusuli dengan penilaian teori dan amali secara berasingan.
Inisiatif pembangunan bakat itu berlangsung seiring dengan peluasan pesat rangkaian perkhidmatan selepas jualan Proton e.MAS yang kini merangkumi 60 pengedar di seluruh negara, termasuk 46 pusat servis sah dan 10 kemudahan membaiki badan serta mengecat kenderaan yang dilengkapi sepenuhnya dengan keupayaan diagnosis EV dan peralatan khusus.
“Rangkaian ini turut disokong oleh ketersediaan 98.8 peratus alat ganti biasa Proton e.MAS, bantuan tepi jalan 24 jam sehari, tujuh hari seminggu serta kemas kini perisian tanpa wayar bagi penambahbaikan terpilih kenderaan,” katanya.
Selain daripada latihan dan pensijilan, penganjuran sulung Pertandingan Kecemerlangan Elektrifikasi e.MAS 2026 yang berlangsung dari 1 Sept hingga 15 Okt, menyediakan satu lagi platform untuk menilai keupayaan praktikal juruteknik dan penasihat servis daripada 45 pengedar Proton e.MAS di seluruh negara.
Peserta dinilai menerusi cabaran praktikal berdasarkan situasi sebenar penyelenggaraan kenderaan dan urusan pelanggan, meliputi antara lain aspek kecekapan teknikal, diagnosis kerosakan, penyelenggaraan serta khidmat rundingan pelanggan.
Zhang berkata inisiatif seumpama itu penting kerana pembangunan tenaga kerja mahir EV tidak seharusnya terhad pada pengetahuan dalam bilik latihan dan pensijilan, sebaliknya perlu merangkumi keupayaan mengaplikasikan kemahiran teknikal dengan yakin dalam situasi sebenar.
“Pada peringkat industri yang lebih luas, pembangunan tenaga kerja berkemahiran EV sejajar dengan usaha Malaysia memacu industri bernilai tinggi dan berintensifkan teknologi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), yang mengenal pasti pembangunan bakat sebagai pemangkin utama transformasi perindustrian negara.
“Memandangkan EV semakin lazim dilihat di jalan raya Malaysia, peralihan ini memerlukan lebih daripada sekadar pertambahan jumlah kenderaan. Kita memerlukan tenaga kerja mahir yang mampu menyelenggara, membaiki dan memberikan sokongan teknikal kepada teknologi kenderaan yang semakin canggih dengan selamat untuk tahun-tahun mendatang,” katanya.
-- BERNAMA