BEIJING, 13 Okt (Bernama-CMG) -- Forum Beijing 2026 mengenai Tindak Balas Pantas terhadap Aduan Awam anjuran bersama Akademi Sains Sosial China, Kumpulan Media China (CMG) dan pihak berkuasa Beijing dirasmikan di sini pada Isnin.
Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China di Beijing, Yin Li dalam ucapannya berkata, Presiden Xi Jinping sentiasa memberikan perhatian terhadap pembangunan bandar dan menekankan pendekatan pembangunan berteraskan rakyat bagi mewujudkan bandar yang lebih mesra penduduk.
Beliau berkata pembangunan bandar bukan sahaja memerlukan kemudahan fizikal, malah sistem pengurusan dan perkhidmatan yang cekap, selain penggunaan teknologi moden bagi merealisasikan pembangunan bandar pintar sebagai antara hala tuju pemodenan bandar berasaskan sains dan teknologi.
Sebagai sebuah bandar raya moden dan dinamik yang berpengaruh di arena antarabangsa, Beijing bertindak pantas dalam menangani aduan rakyat.
Perkhidmatan talian hotline 12345 yang beroperasi 24 jam setiap hari telah menangani kira-kira 200 juta aduan, sejak 2019.
Sementara itu, Presiden CMG Shen Haixiong berkata, CMG bukan sekadar menjadi saksi kepada pembangunan bandar Beijing, tetapi juga berperanan sebagai peserta dan penyokong usaha berkenaan.
Filem dokumentari "Hotline Beijing" yang memaparkan operasi perkhidmatan talian penting 12345 untuk penduduk bandar raya itu mendapat sambutan meluas daripada penonton antarabangsa sejak ditayangkan dua tahun lalu.
Edisi kedua dokumentari itu yang ditayangkan pada Ahad pula mengetengahkan prinsip mengutamakan rakyat dalam era digital menerusi kisah benar.
-- BERNAMA-CMG