Dunia 13/10/2026 03:18 PM

China, Vietnam Adakan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Badan Legislatif

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
China, Vietnam Adakan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Badan Legislatif
Kredit: CMG

BEIJING, 13 Okt (Bernama-CMG) -- Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan China (NPC) Zhao Leji dan Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam Tran Thanh Man mengadakan pertemuan di Dewan Besar Rakyat di sini, pada Isnin.

Kedua-dua pemimpin juga bersama-sama mempengerusikan mesyuarat kedua Jawatankuasa Bersama Badan Legislatif China-Vietnam.

Zhao berkata Presiden China Xi Jinping dan Presiden Vietnam To Lam mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil pada April lepas bagi menentukan hala tuju pembinaan komuniti berkongsi nasib bersama China-Vietnam yang menyeluruh dan mempunyai kepentingan strategik.

Beliau turut menzahirkan kesediaan China untuk bekerjasama dengan Vietnam bagi memperkukuh pembinaan komuniti berkongsi nasib kedua-dua negara, berpandukan hala tuju strategik yang ditetapkan pemimpin tertinggi parti dan negara masing-masing serta enam matlamat utama.

Enam matlamat itu merangkumi usaha membina rasa saling percaya antara kedua-dua negara, mengukuhkan kerjasama keselamatan, memperkasa kerjasama dalam bidang yang substantif, mewujudkan kesan sosial yang positif, meningkatkan penyelarasan pelbagai hala serta menangani perselisihan secara berhemah.

China juga berhasrat bekerjasama dengan negara anggota ASEAN termasuk Vietnam bagi menggembleng usaha membina "lima rumah" yang aman, tenteram, makmur, indah dan mesra.

Sementara itu, Tran Thanh Man berkata Vietnam menganggap hubungan dengan China sebagai pilihan strategik dan keutamaan dalam dasar luar negaranya.

Beliau berkata Vietnam bersedia memperkukuh kepercayaan strategik bersama, memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, infrastruktur dan teknologi serta mempererat pertukaran budaya antara rakyat kedua-dua negara.

Menurut beliau, Perhimpunan Kebangsaan Vietnam juga berhasrat memperkukuh kerjasama dengan NPC dengan memanfaatkan mekanisme Jawatankuasa Bersama Badan Legislatif Vietnam-China.

Kerjasama itu termasuk saling mempelajari pengalaman dalam bidang penggubalan undang-undang, pengawasan, dan tugas perwakilan, sekali gus meningkatkan hubungan Vietnam-China ke tahap baharu.

-- BERNAMA-CMG