KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Masyarakat Malaysia di Qatar memulakan Sukan Malaysia di Qatar (SUQMA) 2026 pada Sabtu dengan pertandingan perahu naga, sekali gus membuka tirai temasya sukan selama dua bulan yang mempertandingkan 16 jenis sukan bagi memupuk perpaduan, persahabatan dan gaya hidup sihat.
Dianjurkan Kedutaan Besar Malaysia di Doha dengan kerjasama Persatuan Rakyat Malaysia di Qatar (MAQ), SUQMA 2026 berlangsung dari 10 Okt hingga 11 Dis ini dengan tema "Merentas Sempadan, Menyemarakkan Perpaduan".
Diadakan bersempena dengan Hari Sukan Negara, acara itu menampilkan pelbagai jenis sukan termasuk perlumbaan perahu naga, sepak takraw, e-sukan dan padel.
Pertandingan perahu naga sebagai acara pembukaan menghimpunkan pasukan yang mewakili komuniti Malaysia dari Al Khor, Doha, Lusail, Al Wakrah dan Dukhan, selain pasukan gabungan pegawai kedutaan dan MAQ.
Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali berkata penganjuran SUQMA 2026 menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.
"Bagi kita di perantauan, sambutan ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan menyatukan komuniti Malaysia di Qatar.
"Menang atau kalah bukanlah ukuran utama. Yang lebih penting ialah semangat kesukanan, disiplin dan persahabatan yang kita bina bersama," kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran SUQMA 2026.
Sambil memuji penyertaan yang menggalakkan dalam kalangan rakyat Malaysia di Qatar, Faizal berharap SUQMA 2026 dapat menjadi simbol perpaduan, keazaman dan kebanggaan komuniti Malaysia di negara itu.
Beliau berkata maskot SUQMA 2026, "Desert Fox" melambangkan ketangkasan dan kebijaksanaan, iaitu ciri yang wajar diterapkan oleh rakyat Malaysia di perantauan dalam kehidupan seharian.
"Semangat ini bukan sahaja penting dalam sukan, tetapi juga dalam menjalankan tugas harian, kehidupan bermasyarakat serta menghadapi cabaran sebagai rakyat Malaysia di perantauan," katanya.
Faizal turut mengingatkan rakyat Malaysia di Qatar supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa di rantau itu, selain mematuhi arahan serta peraturan yang dikeluarkan pihak berkuasa Qatar.
-- BERNAMA