Am 13/10/2026 02:30 PM

Lebih 74,000 Sertai Latihan Kemahiran JTM Hadapi Cabaran AI, Automasi - KESUMA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 74,000 Sertai Latihan Kemahiran JTM Hadapi Cabaran AI, Automasi - KESUMA
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Sebanyak 74,332 peserta telah mengikuti program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) kendalian Jabatan Tenaga Manusia (JTM) hingga 31 Ogos lepas, bagi membantu tenaga kerja menyesuaikan diri dengan automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata HRD Corp turut meluluskan 19,084 tempat latihan dengan bantuan kewangan berjumlah RM47.67 juta setakat Ogos tahun ini.

Beliau berkata ia antara inisiatif Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui agensi di bawahnya bagi menangani risiko penggantian dan perubahan pekerjaan akibat penggunaan automasi serta AI, khususnya dalam kalangan pekerja berkemahiran rendah dan sederhana.

“JTM menyediakan kursus jangka pendek, modular dan latihan tersuai mengikut keperluan industri. Kurikulum dimantapkan dengan memasukkan elemen kemahiran dan teknologi baharu seperti AI, Internet of Things (IoT), sistem automasi, teknologi dron, teknologi hijau, kenderaan elektrik (EV), teknologi hidrogen, serta keusahawanan.

“Majikan berdaftar dengan HRD Corp pula boleh menggunakan levi bagi membiayai program peningkatan kemahiran, latihan semula dan kemahiran silang,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai strategi dan tindakan kerajaan menangani risiko penggantian dan perubahan pekerjaan akibat automasi serta AI di Dewan Rakyat hari ini.

Khairul Firdaus berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga menyediakan pembiayaan yuran dan elaun latihan menerusi Skim LINDUNG Kerjaya bagi membantu pekerja memperoleh kemahiran baharu serta meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Mulai 1 Okt 2026, pembiayaan yuran latihan di bawah skim berkenaan dinaikkan daripada maksimum RM3,000 kepada RM7,000,” katanya.

Sementara itu, program Jelajah AI MyMahir (JAM) dan JAMx kendalian Talent Corporation Malaysia Berhad telah memberi manfaat kepada lebih 7,971 peserta melalui pendedahan praktikal penggunaan AI untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan kerja.

Khairul Firdaus turut berkongsi contoh penggunaan AI oleh syarikat Farm Fresh Berhad untuk memantau tarikh luput produk melibatkan anggaran pelaburan RM14 juta yang berjaya mengurangkan aduan pelanggan sebanyak 30 peratus, sekali gus menunjukkan kepentingan latihan bagi membantu pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

-- BERNAMA