KOTA KINABALU, 13 Okt (Bernama) -- Penurunan berterusan defisit fiskal negara serta peningkatan peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak membuktikan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited menjaga kepentingan generasi akan datang.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata defisit fiskal negara berjaya dikurangkan daripada 5.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 kepada 4.1 peratus pada 2024 dan 3.7 peratus pada 2025, hasil pelaksanaan disiplin fiskal yang konsisten.
Beliau yang juga berkata defisit itu diunjurkan terus menurun kepada 3.6 peratus tahun ini dan 3.3 peratus pada 2027, berbanding 6.4 peratus pada 2021 dan 5.5 peratus pada 2022.
“Angka tidak berbohong. Defisit fiskal negara pernah mencecah 6.4 peratus KDNK pada 2021 dan 5.5 peratus pada 2022. Namun, sejak pentadbiran Kerajaan MADANI, defisit terus menurun daripada 5.0 peratus pada 2023 kepada 4.1 peratus pada 2024 dan 3.7 peratus pada 2025. Defisit diunjurkan terus berkurang kepada 3.6 peratus pada 2026 dan 3.3 peratus pada 2027," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata demikian sebagai mengulas kritikan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap Belanjawan 2027 yang mengumpamakan Kerajaan MADANI seolah-olah menyembelih angsa bertelur emas dengan melibatkan institusi strategik negara seperti Petronas dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam agenda pembangunan.
Beliau berkata pinjaman baharu kerajaan Persekutuan turut berkurang daripada kira-kira RM100 bilion setahun pada 2021 dan 2022 kepada RM75.6 bilion pada 2025, sekali gus mencerminkan usaha kerajaan mengurus kewangan negara secara berhemah bagi mengurangkan beban hutang generasi akan datang.
Dalam pada itu, Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata Kerajaan MADANI terus mengutamakan pembangunan Sabah dan Sarawak meskipun berdepan konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan subsidi bahan api.
Beliau berkata Belanjawan 2027 memperuntukkan RM34.9 bilion kepada kedua-dua negeri, masing-masing RM18.7 bilion untuk Sabah dan RM16.2 bilion bagi Sarawak, iaitu peruntukan tertinggi dalam sejarah dengan peningkatan keseluruhan RM2.2 bilion berbanding tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini membuktikan usaha mengurangkan defisit fiskal dan mengawal pinjaman baharu negara tidak menjejaskan komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta peluang ekonomi di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menggesa Ketua Pembangkang mengemukakan cadangan belanjawan alternatif yang jelas dan terperinci, termasuk pendekatan mengurangkan defisit fiskal tanpa menjejaskan agenda pembangunan negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA