Am 13/10/2026 01:32 PM

MPC Perkukuh Reformasi Kawal Selia, Pacu Daya Saing Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MPC Perkukuh Reformasi Kawal Selia, Pacu Daya Saing Negara
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mohamad Norjayadi Tamam

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan memperkukuh pelaksanaan Amalan Baik Peraturan (GRP) bagi membantu Malaysia mencapai sasaran kelompok 12 negara teratas dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD.

Ketua Pengarah MPC Dr Mohamad Norjayadi Tamam berkata peraturan berkualiti penting untuk meningkatkan keyakinan peniaga dan pelabur, mempercepat realisasi pelaburan serta merancakkan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Beliau berkata peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026 menunjukkan reformasi yang dilaksanakan mula membuahkan hasil, namun usaha berterusan diperlukan untuk mencapai sasaran itu.

“Untuk menembusi kelompok 12 teratas, setiap peraturan, sama ada baharu atau sedia ada, mesti mencapai objektif dasarnya dengan kos pematuhan yang paling rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MPC menyambut baik peruntukan hampir RM25 juta kepada Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) dalam Belanjawan MADANI 2027 bagi mempercepat urusan kerajaan dengan rakyat dan sektor perniagaan, selain pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Sebagai peneraju GRP, sekretariat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan institusi rakan IMD di Malaysia, MPC akan memperkukuh pelaksanaan GRP dan Analisis Impak Peraturan (RIA) merentas kementerian dan agensi termasuk melaksanakan semakan berkala terhadap peraturan sedia ada.

MPC juga akan menyokong pelaksanaan inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan Akta Iltizam, termasuk mengukur serta melaporkan penjimatan kos pematuhan perniagaan secara berkala bagi menilai kesan reformasi terhadap sektor perniagaan.

Selain itu, MPC akan bekerjasama dengan PEMUDAH untuk mengenal pasti dan menyelesaikan halangan kawal selia yang melambatkan operasi perniagaan serta pelaksanaan pelaburan yang diluluskan.

Usaha MPC turut merangkumi reformasi pelesenan berasaskan risiko, pendigitalan proses serta sumbangan kepakaran untuk menyemak peraturan dan mengenal pasti undang-undang lapuk bagi memastikan persekitaran kawal selia negara kekal tangkas, telus dan mesra perniagaan, sejajar dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

-- BERNAMA