Ekonomi 13/10/2026 01:03 PM

Belanjawan 2027: Pelepasan Cukai Tingkatkan Perbelanjaan Pengguna - Rakuten Trade

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: Pelepasan Cukai Tingkatkan Perbelanjaan Pengguna - Rakuten Trade

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Rakuten Trade Sdn Bhd melihat sektor pengguna sebagai penerima manfaat utama Belanjawan 2027 didorong oleh pelepasan cukai pendapatan individu yang dapat meningkatkan kuasa perbelanjaan dalam kalangan rakyat Malaysia berpendapatan sederhana.

Ketua Penyelidikan Kenny Yee berkata selain bantuan tunai yang dilanjutkan dan pelepasan cukai yang diperluas, pelarasan semula cukai pendapatan individu berpotensi meningkatkan kuasa perbelanjaan isi rumah berpendapatan sederhana dengan ketara.

“Selepas menunggu lebih 10 tahun untuk pelarasan ini dilaksanakan, kami percaya langkah tersebut turut memberikan suntikan sentimen positif yang sekian lama dinantikan oleh pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan menganggarkan bahawa gabungan langkah percukaian tersebut berpotensi memberikan tambahan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada lima juta pembayar cukai.

Belanjawan 2027 menaikkan had pelepasan cukai pendapatan individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, selain mengurangkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin sebanyak satu mata peratusan bagi julat pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM100,000 dan RM100,000 hingga RM150,000.

Gaji minimum juga akan meningkat daripada RM1,700 kepada RM2,000 bermula Jun 2027, dengan pengecualian untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatatkan jualan tahunan di bawah RM50 juta.

Selain perbelanjaan pengguna, syarikat broker saham digital itu menyifatkan 2027 sebagai ‘tahun pelaksanaan’ bagi sektor pembinaan.

“Walaupun tiada projek infrastruktur mega baharu diumumkan, peruntukan perbelanjaan pembangunan (DE) RM83 bilion dapat menyokong aktiviti projek yang sedang berjalan,” katanya, sambil menambah Sabah dan Sarawak menerima gabungan RM34.9 bilion.

Mengenai sektor hartanah, Rakuten Trade memaklumkan insentif yang diumumkan dalam belanjawan dapat menyokong permintaan pasaran dan memberi manfaat kepada pemaju yang mempunyai pendedahan berkaitan.

Antara insentif tersebut ialah pengecualian duti setem untuk pembeli rumah pertama yang layak, dengan pengecualian penuh untuk rumah berharga sehingga RM500,000, selain pengecualian 50 peratus ke atas bakinya untuk rumah berharga antara RM500,001 dan RM750,000.

Langkah ini terpakai kepada perjanjian jual beli yang layak yang ditandatangani antara 1 Jan 2027 dan 31 Dis 2030.

-- BERNAMA