KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Organisasi perlu memperkukuh sistem tadbir urus dan kawalan dalaman bagi mencegah rasuah secara proaktif tanpa bergantung semata-mata kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden Pertubuhan Integriti dan Antirasuah Malaysia (INTRAS) Datuk Mohamad Fauzi Husin berkata rasuah bukan sekadar berpunca daripada ketamakan individu, malah boleh berlaku akibat kelemahan sistem apabila kuasa tidak dikawal, keputusan tidak disemak, konflik kepentingan dibiarkan dan proses kerja tidak telus.
“Kita sememangnya memerlukan penguatkuasaan yang tegas. Siasatan, pendakwaan dan hukuman penting untuk memastikan undang-undang dihormati.
“Jika setiap kali berlaku kes kita hanya bercakap tentang tangkapan dan hukuman, tetapi tidak memperbaiki kelemahan sistem yang berkaitan, maka kita mungkin hanya menyelesaikan kes, bukan menyelesaikan punca,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad Fauzi berkata usaha membanteras rasuah perlu dilaksanakan melalui tiga lapisan, iaitu mengenal pasti risiko dan menutup ruang sebelum berlaku salah laku; menggunakan audit, pemantauan, analisis data dan saluran aduan untuk mengesan tanda awal; serta mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang dan proses yang adil apabila terdapat bukti salah laku atau jenayah.
Beliau berkata setiap kes rasuah juga perlu dijadikan asas penilaian kendiri organisasi bagi mengenal pasti kelemahan kawalan, amaran awal yang diabaikan dan pihak bertanggungjawab mengesannya.
Mohamad Fauzi berkata lembaga pengarah perlu menjalankan fungsi semak dan imbang, manakala pengurusan tertinggi bertanggungjawab membina budaya integriti dalam organisasi.
"Petunjuk risiko perlu diberi perhatian termasuk konflik kepentingan yang tidak diisytiharkan, perubahan skop kerja yang kerap, arahan perubahan kerja tidak munasabah, proses kelulusan terlalu mudah serta teguran audit berulang tidak diselesaikan.
“Semua ini mungkin belum menjadi bukti berlakunya rasuah, tetapi ia boleh menjadi isyarat risiko. Organisasi yang serius terhadap memperkukuh integriti sepatutnya bertindak ketika ia masih menjadi risiko dan bukan menunggu sehingga berubah kepada kes jenayah,” menurut artikel itu.
Mohamad Fauzi turut menekankan kepentingan menjadikan audit integriti sebagai mekanisme pencegahan dan amaran awal, khususnya dalam agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Beliau berkata unit integriti perlu berperanan mengesan risiko lebih awal, audit dalaman menilai risiko penyalahgunaan kuasa, manakala pegawai pematuhan perlu berani mempersoal keputusan yang meragukan.
Mohamad Fauzi berkata keberkesanan usaha membanteras rasuah tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah tangkapan, sebaliknya turut mengambil kira sejauh mana kelemahan sistem diperbaiki, ruang rasuah ditutup dan wang awam dilindungi daripada ketirisan.
Beliau berkata tanggungjawab membanteras rasuah tidak boleh bergantung kepada SPRM semata-mata, sebaliknya perlu dipikul bersama-sama oleh semua pihak dalam organisasi bagi memastikan sistem yang diwujudkan tidak membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa.
-- BERNAMA