KUCHING, 13 Okt (Bernama) -- Sarawak merancang menyatukan fungsi kawal selia pelabuhan di negeri itu di bawah Lembaga Pelabuhan Sarawak bagi memperkukuh integrasi, kecekapan logistik dan daya saing perdagangan.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Majang Renggi berkata langkah itu antara pendekatan untuk menyelaraskan pembangunan Pelabuhan Bintulu dengan pelabuhan lain di Sarawak, sekali gus mengoptimumkan peranan setiap pelabuhan.
Beliau berkata pengelompokan pelabuhan berdasarkan kelebihan geografi dan kekuatan industri masing-masing turut dirancang bagi mengelakkan pertindihan fungsi.
“Penyusunan semula struktur tarif, penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan pelabuhan serta transformasi pengurusan kepada entiti korporat turut dikenal pasti sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kelestarian sektor berkenaan,” katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) yang ingin tahu perancangan Kerajaan Negeri Sarawak selepas mengambil alih sepenuhnya pengurusan dan operasi Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan Persekutuan.
Majang berkata pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh kerajaan negeri membolehkan pembangunan pelabuhan itu diselaraskan dengan kepentingan ekonomi Sarawak, memandangkan peranannya sebagai pintu masuk perdagangan utama dan hab eksport gas asli cecair (LNG).
Beliau berkata pelabuhan berkenaan akan terus diperkasakan menerusi peningkatan kecekapan operasi, pembangunan prasarana moden dan pengukuhan sistem digital.
Pengambilalihan itu, katanya turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan aset strategik diurus selaras dengan kepentingan ekonomi serta hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
-- BERNAMA