Dunia 13/10/2026 11:08 AM

Penasihat Keselamatan India, Iran Bincang Perkembangan Serantau Menerusi Telefon

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penasihat Keselamatan India, Iran Bincang Perkembangan Serantau Menerusi Telefon

Oleh Shakir Husain

HYDERABAD, 13 Okt (Bernama) -- Penasihat Keselamatan Negara India Ajit Doval dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran Mohsen Rezaei membincangkan perkembangan terkini serantau dan antarabangsa menerusi panggilan telefon pada petang Isnin.

Kedutaan Iran di New Delhi menerusi hantaran di platform X memaklumkan bahawa kedua-dua pegawai itu "bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan terkini serantau dan antarabangsa serta isu berkepentingan bersama antara kedua-dua negara", tanpa memberikan butiran lanjut.

Hubungan peringkat tinggi antara India dan Iran itu berlangsung ketika serangan maritim semakin meningkat di Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya.

Dua anak kapal warga India dilaporkan hilang susulan serangan dron terhadap kapal tangki produk petroleum Petro Dolphin yang berdaftar di Nicaragua di luar pantai Oman pada Ahad.

Dalam kejadian berasingan pada hari sama, kapal tangki Valthera yang berdaftar di Kepulauan Marshall dan membawa 11 anak kapal warga India terkena projektil di Selat Hormuz.

-- BERNAMA