Am 13/10/2026 10:59 AM

Polis Kesan Saksi Kemalangan Maut Di Lebuhraya Cheras-Kajang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polis Kesan Saksi Kemalangan Maut Di Lebuhraya Cheras-Kajang
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Polis sedang mengesan saksi kemalangan maut membabitkan motosikal dan lori di Kilometer 13.1 Lebuhraya Cheras-Kajang semalam yang mengorbankan seorang penunggang motosikal lelaki berusia 23 tahun.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 6 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal dari Kuala Lumpur menghala ke Kajang dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan raya.

“Pada masa sama, sebuah lori yang bergerak terus tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di atas jalan, menyebabkan penunggang motosikal warga tempatan itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini, pemandu lori berkenaan masih belum membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.

Sehubungan itu, beliau meminta saksi kejadian atau individu yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan, termasuk orang awam yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau video kejadian.

“Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Nur Faezah Mohd Zakria di talian 012-326 8496 untuk menyalurkan maklumat,” katanya sambil menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa bertanggungjawab dan berhemah, serta mematuhi peraturan serta had laju yang ditetapkan.

-- BERNAMA