KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Selepas terlepas peluang beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, perejam skuad sepak takraw negara Muhammad Noraizat Mohd Nordin kini berdepan tamparan lebih hebat apabila disahkan mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada kaki kanannya.
Khabar duka itu dimaklumkan sendiri pemain berusia 27 tahun tersebut susulan laporan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) diterimanya, selain beberapa lagi kecederaan lain yang memaksanya berehat antara enam hingga tujuh bulan.
"Perkembangan terkini yang kurang baik untuk saya. MRI pun dah keluar dengan keputusan menyatakan saya kena ACL dan meniskus serta beberapa perkara lain lagi.
"Doktor cakap paling cepat enam ke tujuh bulan kalau betul-betul buat proses pemulihan. Sebelum Sukan SEA mungkin dah boleh main tapi tengok keadaan saya juga. Kalau saya kuat, saya yakin boleh main balik mungkin boleh tapi kalau saya tak kuat, masih takut-takut akan jadi masalah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Skuad Sepak Takraw Kebangsaan di sini, malam tadi.
Ketiadaan apit kanan handalan itu sekali gus merencatkan kempen pasukannya, Perak Bison yang terpaksa melupakan khidmat Muhammad Noraizat dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.
Beliau juga akur dengan nasihat pakar perubatan bahawa prosedur pembedahan merupakan jalan terbaik demi menyelamatkan masa depan kariernya serta kelangsungan hidup jangka panjang.
"Memang doktor nasihat untuk buat pembedahan demi jangka masa panjang, termasuk kalau nak beraksi semula.
“Jadi, saya minta maaf kepada penyokong Perak Bison (STL). Insya-Allah saya doakan dari jauh, semoga Perak Bison terus maju jaya walaupun saya tak ada dalam pasukan," katanya yang mengakui kecederaan tersebut merupakan cabaran paling berat sepanjang kariernya.
Beliau berkata prosedur pembedahan dijadualkan berlangsung di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menerusi rujukan Institut Sukan Negara (ISN), namun tarikh rasmi bagi pembedahan tersebut masih belum diputuskan.
Muhammad Noraizat sebelum ini disahkan mengalami kecederaan otot betis kanan ketika sesi latihan terakhir sebelum bermulanya saingan Sukan Asia Aichi-Nagoya.
Susulan insiden itu, pengurusan pasukan bertindak pantas memanggil perejam negara, Muhammad Shahalril Aiman Halim bagi mengisi kekosongan berkenaan.
-- BERNAMA