Am 13/10/2026 09:15 AM

Belanjawan 2027: Peruntukan JAKOA Perluas Akses Pendidikan, Kemudahan Utiliti Orang Asli

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Belanjawan 2027: Peruntukan JAKOA Perluas Akses Pendidikan, Kemudahan Utiliti Orang Asli

Oleh Siti Maisarah Ahmad

GUA MUSANG, 13 Okt (Bernama) -- Peningkatan peruntukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebanyak RM24 juta kepada RM445 juta dalam Belanjawan 2027 akan memperluas akses pendidikan serta menambah baik kemudahan asas komuniti berkenaan, khususnya suku kaum Temiar di pedalaman Kelantan.

Pengarah JAKOA Kelantan dan Terengganu Mohd Faedzyal Mohamed berkata inisiatif itu penting bagi meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi masyarakat Orang Asli, selain merapatkan jurang kemudahan yang dinikmati masyarakat berkenaan berbanding kawasan bandar.

“Pendidikan awal anak-anak Orang Asli akan diperkukuh menerusi pembinaan tabika baharu di Kampung Orang Asli (KOA) Angkek dan Pos Belatim (di Gua Musang). Langkah ini penting bagi memastikan generasi baharu di penempatan terpencil mendapat akses pembelajaran yang sempurna sejak awal usia.

“Bagi aspek utiliti, kawasan Pos Gob bakal menerima kemudahan lampu solar berskala besar menerusi projek oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), demi meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata JAKOA Kelantan dan Terengganu akan terus memperkukuh kerjasama dengan kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pihak swasta serta pemimpin masyarakat bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan memenuhi keperluan sebenar komuniti Orang Asli.

Mohd Faedzyal berkata kerjasama itu juga penting bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif tanpa mengetepikan identiti, warisan dan kelestarian hidup masyarakat berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penghulu Orang Asli Negeri Kelantan Bidi Ronggeng, 48, berkata sokongan berterusan kerajaan penting bagi memastikan penduduk pedalaman turut menikmati prasarana yang lebih baik, khususnya dalam bidang pendidikan dan kemudahan asas.

Beliau berkata pembinaan tabika baharu di Kampung Angkek amat diperlukan memandangkan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis mempunyai kepadatan penduduk Orang Asli yang tinggi di Kelantan.

“Kami berharap peruntukan ini dapat merealisasikan harapan masyarakat, terutama bagi menyediakan pendidikan awal dan kemudahan asas supaya tiada lagi masyarakat Orang Asli ketinggalan menikmati manfaat pembangunan,” katanya.

Semasa membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM445 juta kepada JAKOA, antaranya meliputi pembinaan tabika Orang Asli di Kampung Angkek dan Pos Belatim, Gua Musang.

-- BERNAMA