Am 08/10/2026 09:25 PM

Polarisasi, Maklumat Palsu Antara Cabaran Terhadap Perpaduan Negara - Aaron

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Polarisasi, Maklumat Palsu Antara Cabaran Terhadap Perpaduan Negara  - Aaron
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berucap merasmikan Dialog Seri Negara 2026 anjuran Chevening Alumni Malaysia di Jabatan Muzium Malaysia, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Polarisasi, maklumat palsu dan manipulasi identiti merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani Malaysia dalam usaha memperkukuh perpaduan negara, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata polarisasi boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia kepada kelompok yang saling bersaing bukannya bersatu sebagai warganegara, manakala maklumat palsu boleh tersebar lebih pantas daripada usaha untuk mengesahkannya, terutama dalam era digital apabila algoritma akan berulang-kali memaparkan kandungan yang mengukuhkan kepercayaan sedia ada mereka. 

“Apabila etnik, agama atau identiti wilayah sengaja digunakan untuk mencetuskan kemarahan, perbezaan kita bukan lagi sekadar perbezaan, sebaliknya menjadi alat untuk memecahbelahkan. Justeru, tindak balas kita mestilah bersifat pencegahan dan pembetulan,” katanya ketika berucap pada Dialog Seri Negara 2026 di Auditorium Jabatan Muzium Malaysia, di sini hari ini.

Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara mempunyai peranan saling melengkapi dengan agensi yang bertanggungjawab dalam aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, kawal selia komunikasi dan penguatkuasaan jenayah, khususnya dalam meredakan ketegangan, menjadi pengantara dalam pertikaian, memupuk dialog, membina kepercayaan serta memperkukuh komuniti.

Beliau berkata perpaduan tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar kempen, sambutan atau acara tahunan, sebaliknya satu amalan sivik yang diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Kita tidak boleh hanya menghayati perpaduan pada Hari Merdeka dan Hari Malaysia. Ujian sebenar perpaduan bukanlah bagaimana kita bertindak ketika sependapat, tetapi bagaimana kita bertindak apabila kita berbeza pendapat,” katanya.

Beliau turut menegaskan Rukun Tetangga, program kemasyarakatan, libat urus antara agama, inisiatif belia, aktiviti kebudayaan, platform dialog dan kerjasama di peringkat akar umbi bukan sekadar aktiviti sampingan, sebaliknya merupakan infrastruktur negara yang penting.

“Kita juga perlu mengubah cara kita melihat aspek ekonomi dalam konteks perpaduan. Kesepaduan sosial tidak akan dapat bertahan selama-lamanya sekiranya masyarakat merasakan peluang, maruah atau pembangunan diagihkan secara tidak adil,” katanya.

Aaron berkata Dasar Perpaduan Negara 2021-2030 dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 2021-2030 menyediakan kerangka tersusun bagi memperkukuh perpaduan, manakala Pelan Tindakan Perpaduan Negara menterjemahkan strategi tersebut kepada pelaksanaan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, kesejahteraan sosial, sosiobudaya serta sains, teknologi dan inovasi.

Beliau berkata perjalanan Malaysia menuju usia satu abad pada 2063 perlu dipandu bukan sahaja oleh pertumbuhan ekonomi, kemajuan teknologi dan pembangunan bandar, tetapi turut berteraskan kekuatan rasa kebersamaan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa dan satu negara.

“Kita mempunyai tempoh lebih tiga dekad untuk membentuk Malaysia yang akan diwarisi oleh anak dan cucu kita. Kejayaan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan kemajuan ekonomi dan teknologi, tetapi juga sejauh mana kukuhnya rasa kebersamaan rakyat Malaysia sebagai satu bangsa dan satu negara,” katanya.

Dialog Seri Negara 2026 bertemakan “Sejarah Berbeza. Masa Depan Bersama” dianjurkan oleh Chevening Alumni Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi British di Malaysia dan Kementerian Perpaduan Negara. 

-- BERNAMA