ABU DHABI, 8 Okt (Bernama-WAM) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) terus menyediakan bekalan air kepada rakyat Palestin di Semenanjung Gaza menerusi Operasi Chivalrous Knight 3, melalui projek penyahgaraman air, penggerudian telaga serta penyediaan lori tangki dan tangki simpanan air bagi membantu mengurangkan kekurangan bekalan serta memenuhi keperluan penduduk dan mereka yang dipindahkan.
Pada Disember 2023, saluran paip air UAE yang disambungkan ke loji penyahgaraman di sebelah Mesir mula membekalkan air kepada kira-kira sejuta penduduk yang dipindahkan di Rafah, selatan Gaza, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Sebanyak enam loji penyahgaraman dibina di bawah Operasi Chivalrous Knight 3 bagi menangani masalah kekurangan air di Semenanjung Gaza.
Pada Ogos 2025, saluran paip sepanjang 7.5 kilometer dilanjutkan ke Khan Younis di selatan Gaza, membekalkan lima juta liter air sehari kepada kira-kira 700,000 penduduk.
Pasukan di lapangan turut berusaha melanjutkan rangkaian saluran paip air, menyediakan pusat pengagihan serta menyelenggara infrastruktur bagi memastikan bekalan air sampai kepada penduduk dan memenuhi keperluan harian mereka.
Operasi Chivalrous Knight 3 turut meneruskan usaha menangani krisis air di Gaza dengan menghantar 37 lori tangki air, dengan yang terbaharu pada September 2026, serta menggali 121 telaga, memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 orang.
Operasi berkenaan juga menyediakan 20,000 gelen air dan 270 tangki simpanan bagi menyokong penyimpanan serta pengagihan air di kawasan yang disasarkan, sekali gus memudahkan keluarga mendapatkan bekalan air.
Kesemua projek itu merupakan sebahagian daripada usaha kemanusiaan berterusan UAE untuk menyokong rakyat Palestin, memenuhi keperluan asas mereka serta memastikan kesinambungan perkhidmatan penting di Semenanjung Gaza.
-- BERNAMA-WAM