Am 08/10/2026 06:03 PM

Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Bercampur-campur

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Bercampur-campur

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur mengakhiri dagangan Khamis dengan bercampur-campur walaupun pasaran serantau mencatat prestasi kukuh susulan pembukaan semula pasaran China sempena cuti umum panjang.

Seorang peniaga berkata pembukaan semula pasaran itu memberi sokongan dari segi minat belian lebih kukuh dengan peningkatan pasaran niaga hadapan Shanghai dipacu oleh aktiviti pasaran yang kembali rancak selepas penutupan selama seminggu.

“Sokongan lain adalah kenaikan harga minyak mentah di tengah-tengah gangguan bekalan Asia Barat dan stok simpanan minyak mentah Amerika Syarikat yang lebih rendah.

“Kebimbangan berlakunya gangguan bekalan di Asia Barat dan serangan ke atas kapal, masih lagi ada. Stok simpanan Amerika Syarikat jatuh sebanyak 3.2 juta tong kepada 424.1 juta tong dalam minggu berakhir pada 2 Oktober lepas,” katanya.

Bagaimanapun, peningkatan itu dikekang oleh kelemahan permintaan kenderaan di China selain ketegangan perdagangan antara China dan Kesatuan Eropah (EU).

Menurut peniaga, ketegangan itu hanya menjejaskan lagi permintaan terhadap kenderaan manakala tindakan China menolak permintaan EU untuk mengehadkan eksport kenderaan hibdrid pula dilihat memburukkan lagi ketidaktentuan dalam sekor automotif.

Pada 3 petang ini, Getah Mutu Malaysia SMR 20 susut 4.5 sen kepada 1,051.5 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok sebanyak tiga sen kepada 767 sen sekilogram.

-- BERNAMA