MELAKA, 8 Okt (Bernama) -- Program MADANI Kita (PMK) 2026 bersama Komuniti Paya Rumput @ Tangga Batu akan diadakan di Dewan Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong pada Sabtu ini.
Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Zon Selatan Muhammad Asri Ibrahim berkata program yang menyasarkan penglibatan kira-kira 2,000 penduduk PPR berkenaan bertujuan memastikan dasar dan inisiatif Kerajaan MADANI dapat disampaikan dengan cara yang jelas, tepat dan mudah difahami.
Beliau berkata program turun padang yang bertemakan "Memaknai Harapan Rakyat" dari 8 pagi hingga 4 petang itu dijangka dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.
"Kita menerima rungutan rakyat bahawa mereka mendengar pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI, tetapi mereka tidak dapat merasainya.
"Selain itu, kita mahu rakyat bukan sahaja menerima maklumat, tetapi dapat berinteraksi secara langsung dengan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan terlibat, sekali gus menjadikan program ini sebagai satu medium pertemuan antara kerajaan dengan rakyat, secara lebih dekat dan bersemuka," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu "Kokenut Shake Dulu" di Melakafm di sini, hari ini.
Muhammad Asri berkata PMK 2026 bersama Komuniti Paya Rumput @ Tangga Batu akan melibatkan lebih 30 agensi, jabatan kerajaan dan kementerian yang akan memberikan manfaat kepada komuniti setempat, sekali gus memudahkan akses kepada mereka untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.
Beliau berkata program yang kali pertama dilaksanakan di Melaka itu akan diperluas untuk memastikan lebih banyak masyarakat setempat dapat menikmati pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan Kerajaan MADANI.
Beliau berkata antara inisiatif yang disediakan untuk pengunjung PMK berkenaan ialah perkhidmatan kesihatan, pendaftaran MyDigital ID, semakan Wang Tak Dituntut dan penukaran MyKad Generasi Baru.
"Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI akan turut dianjurkan bagi memberikan peluang kepada komuniti membeli pelbagai barangan keperluan pada harga berpatutan.
"Program lain yang turut dianjurkan ialah sukaneka rakyat, Liga Sepak Penalti Komuniti, permainan interaktif dam haji dan pertandingan Car Autoshow," katanya.
Pada program itu juga, Muhammad Asri berkata sesi pertukaran topi keledar percuma, penukaran minyak enjin motosikal percuma, gunting rambut percuma serta pemberian benih dan anak pokok percuma turut diadakan.
-- BERNAMA