KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Cadangan Kerajaan Nepal memendekkan tempoh pengesahan status undang-undang individu hilang akibat bencana daripada 12 tahun kepada 45 hari bakal membuka jalan bagi keluarga mangsa banjir di Rasuwagadhi menyelesaikan urusan perundangan, insurans dan pembahagian harta pusaka yang tertangguh.
Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH) menyambut baik cadangan berkenaan yang disifatkan sebagai kelegaan besar kepada 54 keluarga yang berdepan tekanan emosi dan kewangan selepas 44 hari tragedi berlaku.
Jurucakap MASFIH Dr Manivannan Rethinam berkata semua waris berharap ketetapan baharu itu dapat dikuatkuasakan segera demi memberikan kejelasan kepada waris rakyat Malaysia yang masih hilang dalam kejadian tanah runtuh dan banjir di sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lepas.
"Memandangkan tempoh 45 hari bakal genap esok (9 Okt) dan cadangan itu masih tertakluk kepada proses perundangan di Nepal, kami memohon Kerajaan Malaysia memberikan penjelasan rasmi berhubung kedudukan sebenar perundangan yang terpakai bagi mengelakkan kekeliruan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tragedi tanah runtuh dan banjir di kawasan sempadan Nepal-China itu menyaksikan 54 rakyat Malaysia masih belum ditemukan.
Menurut laporan media negara itu, Kerajaan Nepal pada Rabu mengesyorkan penggubalan ordinan untuk meminda undang-undang sedia ada dan menghapuskan halangan undang-undang bagi mengisytiharkan orang yang hilang sebagai telah meninggal dunia.
Jurucakap kerajaan merangkap Menteri Pendidikan Sasmit Pokhrel dipetik sebagai berkata peruntukan sedia ada yang memerlukan seseorang hilang selama 12 tahun sebelum disytiharkan meninggal dunia akan dikurangkan kepada 45 hari berikutan kejadian banjir Bhotekoshi.
Selain itu, Manivannan memaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberikan maklum balas positif untuk mengadakan pertemuan bersemuka bersama lima wakil MASFIH pada Isnin depan bagi membincangkan cadangan moratorium serta bantuan sementara bagi komitmen dan pembiayaan peribadi yang ditanggung keluarga mangsa.
Dalam pada itu, MASFIH turut merakamkan penghargaan kepada AmBank atas keprihatinan menjadi pihak pertama yang tampil menyalurkan bantuan kewangan kepada kesemua 54 keluarga mangsa menerusi Yayasan AmBank.
"Proses pengumpulan maklumat kini sedang dijalankan bagi membolehkan bantuan berkenaan diproses untuk meringankan beban harian keluarga terjejas,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Manivannan memaklumkan pihaknya masih menunggu maklum balas berhubung permohonan pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Jabatan Peguam Negara bagi membincangkan mekanisme perlindungan dan hala tuju perundangan mangsa yang hilang.
Mana-mana pihak atau organisasi yang berhasrat menyalurkan sumbangan kepada keluarga mangsa boleh menghubungi MASFIH menerusi talian 012-223 1303 atau e-mel masfihmy@gmail.com.
-- BERNAMA