IPOH, 8 Okt (Bernama) -- Peruntukan bagi Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 diharap dapat ditingkatkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak Datuk Salbiah Mohamed berkata langkah itu penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi serta kebolehpasaran orang kurang upaya (OKU) dapat diperkasakan secara berterusan.
“Pada ketika ini, RM80,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk pelbagai program memperkasakan golongan OKU di negeri ini agar berdaya saing dan mampu berdikari dalam meningkatkan taraf ekonomi.
“Kita mengharapkan bajet untuk tahun ini dapat diperinci dan ditingkatkan agar lebih banyak program latihan kemahiran bersasar dapat dilaksanakan untuk golongan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Bulan Kesedaran OKU Negeri Perak 2026 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan isteri Menteri Besar Perak Datin Seri Aezer Zubin yang turut dihadiri lebih 500 tetamu dalam kalangan OKU, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan agensi kerajaan.
Salbiah berkata buat masa ini peruntukan sedia ada di bawah program berkenaan telah disalurkan kepada lapan NGO serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) terpilih di Perak bagi menjayakan modul latihan vokasional bersasar.
“Sebagai contoh di PPKI Tasik Damai, latihan kemahiran seperti kulinari dan barista yang ditawarkan bertujuan memberikan kemahiran praktikal agar mereka bersedia menceburi bidang keusahawanan atau bekerja sebaik sahaja tamat persekolahan,” katanya.
Mengenai penganjuran progaram Bulan Kesedaran OKU, beliau berkata ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menghormati hak golongan tersebut selain memupuk keyakinan dalam diri OKU itu sendiri.
Salbiah berkata kempen berterusan itu juga diharap mampu membentuk persekitaran yang lebih inklusif, prihatin dan mesra OKU di seluruh Perak.
“Langkah ini amat penting terutamanya dalam mengubah sikap sesetengah ahli masyarakat yang masih menyalahgunakan kemudahan khas disediakan untuk OKU seperti tandas, kemudahan parkir dan sebagainya,” katanya.
-- BERNAMA