ALOR SETAR, 8 Okt (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dalam permohonan tender kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) awal tahun ini, manakala bapanya yang juga pengarah urusan syarikat sama dituduh bersubahat.
Muhammad Fadzil Md Fadzilah, 30, dan bapanya Md Fadzillah Ariffin, 66, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.
Muhammad Fadzil sebagai pengarah syarikat Taaveekun Manufacturing Sdn Bhd didakwa memberi satu dokumen bertajuk 'Data-Data Kewangan (Dokumen No. 11)' yang mengandungi butiran kewangan palsu kepada seorang ejen yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembuka Tender di MADA.
Dokumen berkenaan menyatakan syarikatnya layak memperoleh pinjaman tetap RM7 juta, Surat Jaminan Kredit (Letter of Credit) RM8 juta dan Insurance Guarantee RM15 juta, sedangkan syarikat itu didakwa tidak pernah diberikan kemudahan tersebut oleh Permodalan RISDA Berhad.
Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di MADA daerah Kota Setar pada 2.30 petang 11 Jan lepas, mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Muhammad Fadzil juga didakwa menggunakan satu dokumen iaitu surat daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bertarikh 6 Jan 2026, yang didakwa palsu, yang dilampirkan dalam permohonan tender membekal, menghantar dan mengedar baja padi di Kawasan Muda untuk keperluan tanaman musim 1 dan 2 tahun 2026, pada 11 Jan lepas di MADA Kota Setar.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bapanya berdepan dua pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan sama mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 dan Seksyen 471.
Mahkamah membenarkan Muhammad Fadzil dan bapanya diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 1 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM M Kalaivaanan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Fahmi Adilah.
Media sebelum ini melaporkan SPRM Kedah menahan seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja bersabit isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di Kedah.
-- BERNAMA