Am 08/10/2026 04:13 PM

Jerebu: Penyakit Asma, Urti Dan Konjunktivitis Tunjuk Pola Turun Naik Dari Januari-September

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: Penyakit Asma, Urti Dan Konjunktivitis Tunjuk Pola Turun Naik Dari Januari-September

KOTA TINGGI, 8 Okt (Bernama) -- Pemantauan tiga penyakit utama berkaitan jerebu di Johor iaitu jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), asma dan konjunktivitis dari Januari hingga September lepas menunjukkan pola turun naik.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib berkata pemantauan itu dilaksanakan secara harian melalui lapan klinik sentinel iaitu Klinik Kesihatan (KK) Larkin, KK Pasir Gudang, KK Bandar Putra dan KK Parit Sulong.

Selain itu, KK Paya Mas, KK Penawar, KK Pengerang dan KK Mengkibol, manakala Hospital Pasir Gudang pula merupakan hospital sentinel bagi pemantauan sama.

"Bagaimanapun, kes pada September lepas menunjukkan pola penurunan berbanding purata kes bulanan masing-masing sebanyak 36.7 peratus bagi kes asma di hospital dan 18.6 peratus direkodkan di KK.

"Manakala 7.8 peratus dicatatkan bagi kes URTI di KK, dan pemantauan bagi kes konjunktivitis di klinik kesihatan sentinel pula menunjukkan pola peningkatan iaitu  24.5 peratus, berbanding purata kes bulanan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat negeri dan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera peringkat daerah Kota Tinggi 2026 di dewan KEJORA Bandar Penawar di sini hari ini.

Hanifah Hajar berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk survelan dan pemantauan kesihatan, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan serta bekalan dan peralatan, komunikasi risiko dan promosi kesihatan serta pemantauan kualiti udara, penilaian risiko dan penyelarasan respons.

Beliau turut menasihati orang ramai khususnya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit kronik agar mengurangkan aktiviti di luar rumah.

"Gunakan pelitup muka dan pastikan penyaman udara pada mod kitaran semula udara serta minum air secukupnya bagi memastikan tubuh kekal terhidrat.

"Individu yang mengalami gejala seperti batuk, selesema, sesak nafas, atau iritasi mata perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan," katanya sambil memaklumkan agar mengikuti perkembangan semasa kualiti udara dan nasihat kesihatan yang dikeluarkan.

Mengenai program itu, Hanifah Hajar dalam ucapannya berkata penjagaan kesihatan mental tidak seharusnya diberikan perhatian hanya apabila seseorang telah mengalami masalah atau krisis, sebaliknya ia perlu dipupuk secara berterusan melalui budaya kerja yang sihat, sokongan sosial, komunikasi yang baik serta persekitaran yang selamat dan prihatin.

Beliau berkata sikap peduli dan empati adalah antara kepentingan berperikemanusian yang harus dipupuk bertepatan dengan tema “Pengalaman Hidup Didengari: Suara Nyata, Perubahan Direalisasi”.

"Kita perlu menghapuskan stigma bahawa mendapatkan bantuan kesihatan mental adalah tanda kelemahan, sebaliknya mendapatkan bantuan adalah satu bentuk keberanian. 

"Kita juga perlu memastikan individu yang memerlukan bantuan mendapat akses kepada perkhidmatan yang sesuai, tepat pada masanya dan berterusan," katanya.

-- BERNAMA