Am 08/10/2026 04:04 PM

KPDN Pulau Pinang Siasat Seluruh Rantaian Bekalan Berkait Isu Kualiti RON95

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KPDN Pulau Pinang Siasat Seluruh Rantaian Bekalan Berkait Isu Kualiti RON95
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S. Jegan menunjukkan sampel minyak RON95 untuk dihantar ke Jabatan Kimia semasa melakukan lawatan kerja di sebuah depoh bekalan minyak di Perai hari ini.

BUTTERWORTH, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyiasat seluruh rantaian bekalan petrol RON95 di negeri itu bagi mengenal pasti faktor berkait dakwaan isu kualiti bahan bakar berkenaan.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata langkah itu dilaksanakan susulan siasatan pada peringkat pengguna dan stesen minyak, termasuk pengambilan sampel bahan api untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan siasatan tidak hanya tertumpu kepada peringkat akhir, iaitu stesen minyak dan pengguna tetapi turut mengambil kira keseluruhan rantaian bekalan bagi membantu KPDN menyiasat dakwaan ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Jegan mengadakan lawatan kerja ke sebuah depoh bekalan minyak di Perai bagi meneliti proses pengendalian bahan api termasuk aspek penerimaan, penyimpanan, pengurusan, kawalan kualiti serta pengedaran sebelum dihantar ke stesen minyak.

Beliau berkata sampel bahan api dari depoh berkenaan juga diambil untuk tujuan analisis, termasuk sampel daripada lapan pengadu terawal yang diperoleh dari stesen minyak berkaitan, bengkel serta kenderaan mereka.

Jegan berkata setakat ini, pihaknya menerima 33 aduan berkaitan isu berkenaan melibatkan kira-kira 30 stesen minyak daripada dua jenama di seluruh Pulau Pinang.

Beliau berkata keputusan analisis dijangka diperoleh dalam masa sebulan atau berkemungkinan lebih awal.

Jegan turut menasihatkan pengguna yang mengalami masalah berkaitan kualiti bahan api supaya membuat aduan rasmi kepada KPDN serta syarikat minyak berkaitan bagi membolehkan pemeriksaan dan siasatan lanjut dijalankan.

“Pengguna yang mempunyai bukti dan keterangan jelas bahawa kerosakan kenderaan berpunca daripada bahan api yang dibeli juga boleh mengemukakan tuntutan menerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM),” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan terdapat air dalam petrol RON95 menyebabkan masalah pada kenderaan pengguna selepas mengisi bahan api berkenaan di beberapa stesen minyak di Pulau Pinang.

-- BERNAMA