Am 07/10/2026 01:14 PM

Penerbangan Sewa Khas Musim Sejuk Pertama Poland-Pulau Pinang Bermula 5 Nov

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Penerbangan Sewa Khas Musim Sejuk Pertama Poland-Pulau Pinang Bermula 5 Nov
Kredit: PETACE

GEORGE TOWN, 7 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang bakal menerima penerbangan sewa khas musim sejuk pertama dari Poland pada 5 Nov ini, menjadikannya langkah signifikan terhadap usaha negeri itu mempelbagaikan pasaran pelancongan antarabangsa termasuk menembusi Eropah dengan lebih luas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata perkhidmatan penerbangan Warsaw-Pulau Pinang oleh LOT Polish Airlines sehingga 25 Mac 2027 akan dikendalikan sebuah agensi pelancongan.

Beliau berkata penerbangan yang dijadualkan beroperasi pada Khamis setiap seminggu itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Chopin Warsaw ke Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAPP) Pulau Pinang.

“Sebanyak 19 penerbangan dijangka beroperasi sepanjang musim sejuk, dengan setiap penerbangan membawa kira-kira 250 hingga 300 pelancong. Agensi pelancongan itu juga menyediakan lapan pakej pelancongan khusus untuk warga Poland sebagai sebahagian daripada program sewa khas berkenaan. 

“Mereka boleh memilih mana-mana dua pakej bagi menikmati pengalaman melancong di Pulau Pinang secara lebih khusus, dengan program dikendalikan pemandu pelancong tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu membolehkan pelancong memahami dengan lebih dekat dan menyeluruh mengenai budaya, sejarah, tarikan semula jadi serta cara hidup masyarakat di Pulau Pinang.

Pada 1 Okt lepas, Wong mengadakan pertemuan dengan wakil agensi pelancongan dan syarikat pengurusan destinasi yang bertanggungjawab terhadap projek penerbangan sewa khas itu bagi memuktamadkan persiapan menjelang penerbangan musim sejuk pertama ke Pulau Pinang.

Mengenai pakej pelancongan itu, Wong berkata ia disesuaikan dengan pilihan percutian musim sejuk pelancong Poland, iaitu menawarkan tempoh penginapan antara tujuh atau 14 hari bagi memberi mereka peluang meneroka warisan budaya dan tempat menarik di Pulau Pinang serta bersantai di pantai pulau berkenaan.

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja akan memperkukuh hubungan udara antarabangsa Pulau Pinang, malah membuka lebih peluang kepada industri pelancongan negeri itu untuk menembusi pasaran Eropah.

Wong turut menyifatkan penerbangan sewa khas berkenaan sebagai “batu loncatan” kepada Pulau Pinang untuk mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran tersebut dengan memenuhi permintaan perjalanan bermusim di pelbagai negara serta memanfaatkan pakej pelancongan sedia ada yang ditawarkan pengendali pelancongan.

“Penerbangan sewa khas, khususnya pada musim sejuk disusun berdasarkan permintaan perjalanan tertentu. Ia boleh menjadi titik permulaan penting untuk membuka pasaran baharu, menarik lebih banyak sumber pelancong baharu dan meneroka potensi bagi mewujudkan hubungan udara jangka panjang pada masa depan.

“Penerbangan sewa khas musim sejuk Warsaw-Pulau Pinang dari Poland ini menjadi titik permulaan dan mencerminkan usaha positif industri pelancongan negeri untuk terus membangunkan pasaran jarak jauh di Eropah,” katanya.

-- BERNAMA