KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) yang bakal diperkenalkan akan menginstitusikan perakaunan karbon mandatori dan tadbir urus yang jelas kepada perniagaan berhubung perundangan untuk melaksanakan penyahkarbonan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata perundangan itu bersama-sama Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 akan menyelaraskan agenda alam sekitar Malaysia dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) selain memberikan kestabilan serta lebih keyakinan kepada pelabur domestik dan antarabangsa untuk menggunakan teknologi bersih.
“Menerusi RUU PIN yang akan diperkenalkan, kita akan menginstitusikan perakaunan karbon mandatori dan tadbir urus yang jelas bagi memberikan kepastian undang-undang yang diperlukan perniagaan untuk menyahkarbon,” katanya.
Arthur berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya di Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau serta Eko Antarabangsa Malaysia ke-17 (IGEM) 2026 yang diadakan bersama-sama Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air merasmikan majlis itu.
Arthur berkata Malaysia telah melancarkan Dasar Pasaran Karbon Negara pada April lepas yang mewujudkan kawal selia yang telus dan berintegriti tinggi dengan piawaian pemantauan, pelaporan dan pengesahan (MRV) yang jelas sejajar dengan Artikel 6 Perjanjian Paris.
Beliau berkata dasar itu akan memberikan kepastian kawal selia yang diperlukan oleh pemaju tempatan dan pelabur global untuk menjalankan urus niaga kredit karbon, khususnya bagi memacu usaha penyahkarbonan dalam sektor yang sukar mengurangkan pelepasan karbon.
“Menerusi Skim Pembiayaan Teknologi Hijau 5.0, kami menyokong industri dengan menyediakan jaminan kerajaan yang membantu mengurangkan risiko pembiayaan dan memudah cara akses pembiayaan bagi projek hijau,” katanya.
Arthur berkata skim itu bersama-sama Elaun Cukai Pelaburan Hijau akan meningkatkan daya maju pelaburan hijau serta memberi lebih keyakinan kepada pemaju projek untuk merealisasikan aspirasi hijau ke dalam projek.
Beliau berkata Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) turut memperluas penggunaan instrumen praktikal seperti MyHIJAU Mark untuk mengesahkan produk dan perkhidmatan hijau yang membolehkan perniagaan Malaysia memperoleh pengiktirafan hijau rasmi kerajaan dan akses rantaian bekalan hijau bernilai tinggi di seluruh ASEAN.
Pada peringkat subnasional, beliau berkata kementerian sedang bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mempercepat penggunaan teknologi hijau termasuk melalui Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon yang membolehkan PBT mengukur, mengurus dan mengurangkan pelepasan karbon di kawasan bandar.
Arthur berkata IGEM dan KLSS saling melengkapi dengan menghubungkan teknologi hijau dengan pemimpin tempatan dan industri selain menghimpunkan pengawal selia, institusi pembiayaan dan pemikir bagi membincangkan tadbir urus, taksonomi dan pembiayaan peralihan yang diperlukan untuk memperluas teknologi hijau.
Beliau berkata IGEM telah menjana prospek perniagaan bernilai lebih RM86 bilion dan menarik lebih 700,000 peserta dari seluruh dunia sejak mula dianjurkan manakala IGEM 2025 yang berlangsung serentak dengan penganjuran sulung KLSS, menjana potensi pelaburan hijau bernilai RM7.3 bilion menerusi sesi pemadanan perniagaan yang berstruktur.
Edisi ke-17 IGEM yang bertemakan “Race Towards Net Zero: Action Beyond Boundaries” berlangsung dari 7 hingga 9 Okt dianjurkan oleh NRES dan agensinya MGTC.
-- BERNAMA