NIBONG TEBAL, 6 Okt (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar tingkatan empat Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal yang disyaki dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.
Ketua Pengarah JKM Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata jabatan itu mempunyai kaunselor yang bersedia memberikan perkhidmatan tersebut jika diperlukan keluarga mangsa.
“Tetapi pada masa ini, biarlah kita memberi ruang kepada keluarga untuk bertenang. Apabila mereka bersedia mendapatkan pertolongan daripada kami, insya-Allah kami bersedia pada bila-bila masa,” katanya.
Che Murad Sayang berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kampung Angkat MADANI JKM 2026 di Kampung Sungai Setar Besar, Sungai Acheh di sini hari ini.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka diberikan kekuatan untuk menghadapi kehilangan itu.
Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dewan sekolah itu pada kira-kira 5.50 petang Sabtu lepas.
Susulan itu, polis menahan tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan dengan seorang daripada mereka direman hingga 9 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA