KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mewajibkan pemilik bangunan di seluruh negara melantik Pengurus Keselamatan Kebakaran (FSM) dan Pegawai Keselamatan Kebakaran (FSO) di premis masing-masing mulai 1 April 2027.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata ketetapan itu melibatkan 9,451 premis, selaras dengan Seksyen 27A Akta Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 yang mensyaratkan pemilik premis menubuhkan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK).
“Mulai 1 April 2027, mana-mana bangunan yang kita periksa dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang dan diwajibkan memperoleh Perakuan Bomba, perlu melantik FSM dan FSO serta mewujudkan OKK di premis masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran FSM dan FSO, di sini hari ini.
Nor Hisham berkata tempoh persediaan antara enam hingga 18 bulan diberikan kepada pemilik bangunan sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan, namun ia bergantung kepada tarikh tamat perakuan sedia ada dan jadual pemeriksaan berkaitan Sijil Perakuan Bomba.
Beliau berkata penguatkuasaan itu adalah pendekatan strategik untuk mengurangkan beban kerja JBPM, khususnya bagi pemeriksaan tahunan premis.
“Pada masa hadapan, laporan pemeriksaan tahunan yang disediakan oleh FSM akan dinilai oleh JBPM untuk pemilik bangunan memperbaharui Sijil Perakuan Bomba tanpa memerlukan pemeriksaan secara fizikal oleh pihak bomba,” katanya.
Nor Hisham berkata pihaknya menjangkakan 6,000 FSM dan 18,000 FSO akan dilantik bermula tahun ini sehingga 2030 bagi menampung keperluan industri di seluruh negara.
Beliau berkata setakat ini, JBPM mempunyai 13 penyedia latihan berdaftar dan jumlah itu dijangka bertambah pada masa hadapan.
Terdahulu, sebanyak 174 FSM dan 324 FSO menjadi kumpulan pertama melengkapkan latihan menerima sijil perakuan masing-masing pada majlis berkenaan.
-- BERNAMA